My Add

Friday 22 February 2013

Langgar mati polis trafik: Pemandu bas wanita dijel 4 tahun, denda RM10,000

Oleh AZIZI MAJID
JOHOR BAHRU, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Seorang pemandu bas wanita dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis trafik tahun lalu.

Majistret Maslinda Selamat memerintahkan hukuman terhadap Wong Lin Chan, 50, berkuat kuasa mulai hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan Lin Chan yang membawa bas antara bandar raya Johor Bahru-Singapura membayar pampasan sebanyak RM10,000 kepada balu mangsa dan sekiranya gagal berbuat demikian, dia boleh dipenjara empat bulan.

Lesen memandu tertuduh turut digantung selama lima tahun dan pasport antarabangsanya ditahan.

Lin Chan dari Taman Sri Pulai Perdana di sini didakwa memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Koperal Ismayuddin Ismail, 51, di dalam kawasan bangunan Sultan Iskandar pada pukul 11.35 malam, 22 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 serta lesen memandunya boleh digantung.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam bela, Chew Pong Him untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat jaminan wanita itu dinaikkan kepada RM15,000. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment