My Add

Tuesday 5 February 2013

Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga Mohd Noordin

NIBONG TEBAL, SELASA, 05 Februari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Mohd Noordin Mohd Kassim yang meninggal dunia semalam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada parti kerana beliau banyak menyumbang dalam usaha membela orang Melayu khususnya rakyat Malaysia.

"Allahyarham merupakan tokoh politik yang banyak berjuang...berpuluh-puluh tahun beliau bersama UMNO. Saya bagi pihak pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghargai sumbanganya selama ini.

"Saya datang ke rumah Allahyarham hari ini bagi menyampaikan salam takziah kepada keluarganya dan berharap mereka bersabar (atas kehilangan Allahyarham). Mudah-mudahan roh Allahyarham bersama orang soleh," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Mohd Noordi di Taman Rasa Ria, di sini hari ini.

Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari di Pulau Pinang tiba di rumah Allahyarham pada jam 6.55 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut mengiringi timbalan perdana menteri ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Muhyiddin berkata, Allahyarham adalah rakannya dan sebab itu beliau merasakan ia satu kehilangan.
"Jenazah dikebumi semalam, jadi sempena lawatan kerja di Pulau Pinang hari ini, saya datang ke rumah Allahyarham bagi menemui keluarga rakan lama saya ini," katanya.

Mohd Noordin, 62, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini akibat jangkitan kuman dalam badan berikutan kegagalan buah pinggang.

Sementara itu Jaafar Sadeq Mohd Noordin, 33, berkata arwah bapanya adalah rakan lama timbalan perdana menteri dan kehadiran Muhyiddin menziarahi keluarganya hari ini menunjukkan perjuangan Allahyarham dalam Umno selama ini berbalas.

"Dalam pertemuan tadi, timbalan perdana menteri sempat bertanya keadaan ayah sebelum meninggal dunia dan beliau juga mengimbas kenangan mereka berdua ketika bersama-sama berjuang untuk UMNO.

"Saya sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana dalam kesibukan dan jadual lawatan kerja yang padat di Pulau Pinang, Tan Sri (Muhyiddin) sempat meluangkan masa menziarahi kami," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment