My Add

Tuesday 12 February 2013

Nyatakan pendirian secara terbuka

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, ISNIN,11 Februari, 2013: Majlis Syura Ulama Pas perlu menyatakan pendirian secara terbuka berhubung pelantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut perlu memandangkan sebelum ini wujudnya percanggahan pendapat antara majlis itu dengan barisan kepemimpinan tertinggi Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

“Saya berharap Majlis Syura Ulama Pas bukan hanya tidak tutup sebelah mata dalam isu itu tetapi jangan berpura-pura tentang Anwar yang mempunyai pendirian cukup jelas mengenai kalimah Allah, gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender dan melindungi keselamatan Israel.

“Majlis Syura Ulama Pas seharusnya tampil menyatakan secara terbuka terhadap isu itu, seperti mereka lakukan berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, majlis berkenaan tidak pernah membincangkan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menguasai negara.

Malah, beliau menyifatkan dakwaan kononnya majlis tersebut menolak Anwar sebagai Perdana Menteri adalah mengarut dan mendakwa ia adalah fitnah yang sengaja direka oleh UMNO untuk mengkucar-kacirkan pakatan pembangkang dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, Majlis Syura Ulama Pas seharusnya mengambil tindakan sama seperti dalam isu kalimah Allah bagi mengelakkan kredibilitinya terus dipertikaikan oleh parti-parti komponen dalam pakatan itu.

“Majlis Syura Ulama Pas perlu membuktikan konsistensi mereka sebagaimana isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment