My Add

Wednesday 20 February 2013

OMBAK minta penjelasan kerajaan Kelantan berhubung Ladang Rakyat

KOTA BHARU, RABU, 20Februari, 2013: Sebuah badan bukan kerajaan hari ini meminta kerajaan negeri Kelantan memberi penjelasan berhubung status tanah yang dijadikan Ladang Rakyat di Limau Kasturi, Gua Musang yang menimbulkan banyak persoalan.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Mohamad, berkata kerajaan negeri pimpinan PAS itu perlu menjelaskan sama ada benar tanah seluas 1,308 hektar itu diserahkan kepada sebuah syarikat luar.

Ini kerana kerajaan negeri sudah menandatangani satu perjanjian dengan syarikat itu pada 7 Mac 2012 yang membenarkan mereka mengusahakan tanah berkenaan.

Bagaimanapun, Wan Khairul Ihsan, berkata sebelum itu satu sijil perakuan yang ditandatangani Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub sudah diserahkan kepada peneroka generasi kedua pada Jun 2008.

"Yang menimbulkan persoalan, mana janji kerajaan negeri kepada seramai 213 peserta Ladang Rakyat pada Jun 2008 yang mereka akan diberikan tanah seluas empat hektar untuk diusahakan selain elaun bulanan sehingga RM750 seorang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada sidang akhbar itu juga Wan Khairul Ihsan turut menunjukkan salinan dokumen yang didakwa perjanjian antara kerajaan Kelantan dan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, tidak mungkin tanah di PT2543 itu boleh diberikan kepada dua pihak iaitu pada masa yang sama adalah milik peneroka dan juga syarikat terbabit.

"Peneroka kini terpedaya kerana sehingga ke hari ini mereka langsung tidak menerima apa yang dijanjikan kerajaan negeri ketika itu yang kita sifatkan hanya gula-gula pilihan raya pada tahun itu," katanya.

Beliau berkata, kesemua peneroka yang menerima sijil itu juga adalah penyokong kuat pembangkang dan apa yang dilakukan kerajaan negeri itu sebagai bukti tidak menepati janji terhadap rakyat.

Katanya, Ladang Rakyat di situ dipercayai mengalami kerugian dan sebab itu diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan semula.

Sementara itu, beliau membidas dakwaan kerajaan Kelantan yang kononnya pihak tertentu menggunakan gambar lama dan menggunakan teknik tertentu mengenai keadaan Tanah Tinggi Lojing yang kini teruk digondolkan.

"Tidak munasabah langsung pihak kami atau NGO lain memanipulasi gambar itu. Ini gambar terbaru dan ia adalah tulen. Sesiapa saja boleh mengambil gambar sedemikian di Lojing," katanya.

Beliau meminta kerajaan negeri tidak memberikan alasan tidak masuk akal untuk menafikan kegiatan penggondolan itu sebaliknya mengakui kesilapan menangani keadaan di Lojing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment