My Add

Wednesday 20 February 2013

Kerajaan sedia insentif atasi kes kanak-kanak didera pengasuh tidak terlatih

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Februari, 2013: Kerajaan menyediakan beberapa alternatif pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak kepada ibu bapa termasuk insentif pembukaan TASKA baru dan subsidi yuran pengasuhan kepada ibu bapa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon, berkata alternatif itu bagi mengatasi masalah penjagaan anak oleh pengasuh yang tidak terlatih.

Katanya, Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Taska 1Malaysia bersedia untuk membantu ibu bapa mengasuh anak mereka.

"Setakat ini, sebanyak 2,058 Taska berdaftar dan 46 Taska 1Malaysia di seluruh negara bersedia memberikan perkhidmatan kepada ibu bapa di seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tawaran kementerian itu sebagai tindakan ke atas kejadian seorang bayi empat bulan di Kuantan, Pahang yang didera pembantu rumah warga Indonesia, pada 15 Februari lalu.

Mangsa Mohamed Hareez Mohamed Zamri dilambung beberapa kali oleh pembantu rumah itu sehingga mengalami lebam di tangan serta cedera di kaki kiri dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.

Semalam, pembantu rumah terbabit dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun oleh Mahkamah Seksyen Kuantan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera Mohamed Hareez.

Noriah berkata, kementerian turut mempermudahkan pendaftaran TASKA baru tanpa perlu mendapat pengesahan daripada agensi teknikal terlebih dulu sekiranya TASKA berkenaan mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan JKM.

Selain itu, katanya kerajaan juga menyediakan insentif kepada pengusaha TASKA swasta, majikan dan ibu bapa antaranya menyediakan geran pelancaran RM10,000 diberikan kepada penyedia TASKA swasta bagi membantu mereka membuka TASKA baru yang berkualiti.

“Mereka juga diberikan pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun, selain sudsidi bayaran kursus sebanyak RM180 seorang bagi pengendali atau petugas yang mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA,” katanya.

"Bagi TASKA di tempat kerja sektor awam dan swasta pula kerajaan memperuntukkan RM200,000 kepada mana-mana kementerian dan jabatan untuk menubuhkan TASKA serta subsidi yuran RM180 kepada ibu bapa yang berpendapatan RM3,000 sebulan yang menghantar anak mereka ke TASKA sektor awam," katanya.

“Kerajaan juga memberi insentif potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan TASKA dan pengecualian cukai 10 tahun ke atas perbelanjaan pembinaan atau pembelian bangunan untuk membuka TASKA,” tambahnya.

Bagi pengusaha TASKA 1Malaysia, Noriah berkata, mereka akan memperoleh geran penubuhan RM56,000 dan geran operasi RM64,000.

"Subsidi yuran pengasuhan bagi seorang kanak-kanak yang dihantar ke TASKA 1Malaysia akan diberikan RM180 seorang bagi keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah di bandar dan RM1,500 di luar bandar," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat aduan menerusi Talian Nur di 15999 mengenai sebarang bentuk penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment