My Add

Wednesday 20 February 2013

Pelajar diminta guna BB1M di kedai koperasi universiti

KUANTAN, SELASA, 19 Februari, 2013: Semua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) diminta menggunakannya di kedai koperasi yang terdapat di universiti masing-masing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dapat mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan dikhuatiri penuntut menjual baucar itu kepada pihak ketiga.

"Selain memudahkan pemantauan, langkah ini juga akan dapat memberi keuntungan kepada universiti itu sendiri.

"Hampir semua IPT di negara ini memiliki koperasi yang menjual buku dan peralatan-peralatan lain dan ada koperasi yang lengkap dengan pelbagai jenis buku diperlukan penuntut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pengagihan BB1M 2013 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, petang semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd. Shohaimi Jusoh; Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, A. Aruwan Abd. Aziz dan Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Dalam majlis itu, seramai 8,531 mahasiswa prasiswazah dan pascasiswazah UMP menerima baucar buku bernilai RM250 tersebut.

Ismail Sabri berkata, BB1M merupakan inisiatif berterusan kerajaan bagi membantu meringankan beban penuntut IPT untuk membeli buku rujukan yang diperlukan dalam pembelajaran mereka.

Beliau berkata, baucar buku tersebut merupakan salah satu bantuan secara langsung yang diberikan kerajaan melalui agenda transformasi dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya melihat bantuan secara langsung yang dilaksanakan kerajaan ini adalah lebih baik berbanding secara tidak langsung. Kita bukan sahaja dapat mengenali kumpulan sasarnya malah rakyat dilihat lebih menghargai bantuan seperti ini.

"Contohnya, bukan sahaja BB1M untuk penuntut IPT malah rakyat berpendapatan RM3,000 ke bawah layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500. Sudah sampai masanya kerajaan perlu melihat bantuan secara langsung ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment