My Add

Saturday, 23 February 2013

Perdana Menteri cabar pembangkang

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM, ZAAIN ZIN dan ZAPHNE PHILIP
KUCHING, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bagi membuktikan mereka benar-benar komited dalam agenda pilihan raya yang bersih, adil dan bebas rasuah.

Kata Perdana Menteri, keengganan berbuat demikian menunjukkan pembangkang 'cakap tidak serupa bikin' kerana selama ini merekalah yang menonjolkan diri sebagai jaguh dalam hal sedemikian.

"Nampaknya kalau mereka memperjuangkan soal salah guna kuasa dan rasuah, inilah masanya untuk buktikan pendirian mereka yang konsisten dan tegas dalam hal ini.

"Mereka tuduh macam-macam terhadap Barisan Nasional (BN), tetapi kita sanggup melakukan perkara ini (tanda tangan)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya yang digerakkan Transperancy International (Malaysia) (TI-M) sebagai satu lagi komitmen beliau terhadap pelaksanaan agenda negara dalam membanteras rasuah terutamanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ikrar itu adalah kontrak sosial yang ditandatangani secara sukarela oleh mana-mana calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum kelak.

Walau bagaimanapun semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pihaknya tidak akan berbuat demikian dengan alasan apa yang lebih penting ialah niat di dalam hati dan bukannya menandatangani ikrar.

Sementara itu, Najib merangkap Pengerusi BN berkata, semua calon pilihan raya parti itu akan menandatangani ikrar berkenaan.

Katanya, ini sebagai tanda sokongan dan tanggungjawab kepada cadangan TI-M bagi memastikan pilihan raya yang adil dan tidak diserahkan kepada SPR semata-mata.

"Sebaliknya, peranan parti dan calon adalah penting untuk menghormati undang-undang negara terhadap kesalahan pilihan raya terutama sekali membeli undi, salah gunakan wang dan sebagainya," katanya.

Ditanya tentang tindakan kerajaan negeri Selangor menggantung projek jalan raya dan prasarana kerajaan Persekutuan sebagai tindak balas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam berhubung kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Najib berkata, itu akan merugikan rakyat dan membantutkan pembangunan negeri.

"Kita akan bincang perkara ini dan tentukan apa tindakan yang patut dilakukan sama ada minta perintah mahkamah atau sebagainya," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment