My Add

Wednesday 20 February 2013

Perjalanan KL-Singapura 90 minit

 *NAJIB Tun Razak dan Lee Hsien Loong (tujuh kanan) serta delegasi kedua-dua negara bermesyuarat sempena Malaysia-Singapore Leaders Retreat di Hotel Shangri-La Singapura, semalam. - BERNAMA

Oleh Luqman Haziq
SINGAPURA, SELASA, 19 Februari, 2013: Corak perhubungan antara Malaysia dan Singapura bakal melalui titik perubahan besar apabila kedua-dua negara hari ini bersetuju membangunkan projek kereta api laju yang dijadual siap menjelang 2020.

Projek itu yang reka bentuknya mengambil kira model rel kereta api laju London-Paris, Madrid-Barcelona dan Taipei-Koahsiung di Taiwan akan memendekkan waktu perjalanan Kuala Lumpur-Singapura kepada 90 minit sahaja.

Persetujuan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong selepas menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-4 di Hotel Shangri-La di sini hari ini.

Najib menyifatkan projek tersebut bakal menjadi titik perubahan besar dalam corak perhubungan antara kedua-dua negara dan bagaimana dunia melihat hubungan Malaysia-Singapura.

“Ini akan mengubah cara kita berurusan dalam bidang perniagaan dan bagaimana kita berinteraksi antara kedua-dua bandar raya.

“Projek itu juga akan memberi perubahan besar kepada kedua-dua negara dalam usaha saling melengkapi antara satu sama lain. Peluang yang terhidang adalah tanpa sempadan antara kedua-dua negara," katanya.

Sesi pemukiman yang turut dihadiri 10 Menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang bermula semalam, berakhir hari ini.

Najib berkata, projek kereta api laju tersebut turut memudahkan perjalanan serta meningkatkan interaksi antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia telah menjalankan kajian awal tentang projek berkenaan dan akan menawarkan bagaimana Singapura dapat mengambil bahagian dalam projek tersebut.

Ditanya tentang kos dan panjang laluan projek berkenaan, beliau walau bagaimanapun enggan mendedahkannya pada masa ini.

“Pada masa ini kos dan panjang laluan kita belum boleh beritahu, tetapi yang penting projek ini akan menjadikan perjalanan antara kedua-dua bandar raya dalam tempoh 90 minit," katanya.

Pada sidang akhbar yang berlangsung ceria selama kira-kira 15 minit itu, Hsien Loong turut menyifatkan projek kereta api laju berkenaan bukan sahaja meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara, malah mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi, peluang dan kemakmuran kepada kedua-dua pihak.

“Ini akan memudahkan perjalanan antara Kuala Lumpur-Singapura dan mengeratkan hubungan perniagaan dan menjadikan rakyat Malaysia dan Singapura lebih rapat.

“Lebih utama projek ini akan meningkatkan kemakmuran dan kejayaan kepada kedua-dua negara," katanya.

Ditanya tentang Rapid Transit Sistem (RTS) yang akan menghubungkan Singapura dan Johor Bahru, Hsien Loong memberitahu, perkara itu belum diputuskan dan masih dalam kajian.

“Projek ini bersifat lokal untuk menghubungkan kedua-dua bandar raya. Kita berharap dapat selesaikan dalam masa yang singkat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment