My Add

Thursday 14 February 2013

Petronas, MTEM setuju atasi isu penyertaan usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Februari, 2014: PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menyelesaikan isu penyertaan usahawan Bumiputera dalam projek yang ditawarkan syarikat petroleum nasional itu.

Pengerusi MTEM, Datuk Syed Ali Alattas, berkata penubuhan jawatankuasa bersama itu adalah sebahagian daripada cadangan yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan antara MTEM dengan PETRONAS semalam berhubung kemelut membabitkan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, mesyuarat kira-kira dua jam yang dipengerusikan Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas itu mencapai keputusan positif, tetapi beberapa isu dan cadangan dikemukakan masih perlu diperhalusi.

"MTEM akan menghantar satu surat kepada PETRONAS mengenai cadangan yang kami persetujui pada mesyuarat itu yang mana mereka perlu membalas sama ada bersetuju atau tidak mengenainya.

“Kami jangka mereka (PETRONAS) akan memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari iaitu menjelang 21 Februari ini dan selepas itu, kita akan buat sidang akhbar untuk menjelaskannya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mesyuarat pemimpin MTEM dengan pengurusan PETRONAS semalam bertujuan menyelesaikan isu tuntutan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terbabit, yang mendakwa syarikat petroleum negara itu gagal melaksanakan tanggungjawab membangunkan ekonomi Bumiputera dan hanya mementingkan syarikat asing dalam penawaran kontraknya.

MTEM adalah gabungan 47 NGO ekonomi Melayu nasional dan 101 NGO ekonomi bersekutu yang memperjuangkan pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan masyarakat Melayu tidak terus ketinggalan dalam pengagihan hasil ekonomi negara. - BH

No comments:

Post a Comment