My Add

Monday, 4 February 2013

PM kini diterima masyarakat India

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Februari, 2013: Kehadiran kira-kira 100,000 masyarakat India dalam Pesta Ponggal di Dataran Merdeka semalam membuktikan kaum itu kini mula menerima sepenuhnya kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Barisan Nasional (BN).

Presiden Gagasan Pelajar India 1Malaysia, D. Mahaganapathy berkata, sambutan tersebut menunjukkan masyarakat India begitu selesa dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang diinspirasikan oleh Najib sebelum ini bagi menyatupadukan rakyat Malaysia.

"Dalam pesta ini, kita dapat melihat Perdana Menteri seorang pemimpin berjiwa rakyat, sanggup turun untuk berjumpa dengan orang India di Dataran Merdeka.

"Ini sudah pastinya mencerminkan kaum India di negara ini memberi pengiktirafan kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan mengesahkan mereka mahu terus memberi mandat kepada BN kali ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mahaganapathy berkata, kehadiran begitu ramai masyarakat India dalam sambutan pesta itu juga menunjukkan kaum tersebut menyokong segala usaha transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri pada masa kini.

Pesta tersebut, katanya, mencerminkan kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadi satu elemen penting untuk rakyat Malaysia terus hidup bersatu-padu serta aman damai.

Dalam pada itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk S. Mohan berkata, kehadiran begitu ramai masyarakat India merupakan satu keajaiban, sekali gus membuktikan mereka memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri.

"Keadaan ini sudah mula menunjukkan bahawa angin perubahan sudah terarah kepada BN.

"Mereka yakin dan percaya Najib mampu membela nasib mereka sekali gus menafikan pandangan pihak-pihak tertentu bahawa kaum itu dipinggirkan kerajaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment