My Add

Saturday 16 February 2013

PM temui mangsa kemalangan bas di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh

 *NAJIB dan Rosmah Mansor melawat salah seorang mangsa, Suzi Karim, yang terselamat selepas bas yang mereka naiki terbalik di Kilometer 15 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

IPOH, JUMAAT, 15 Februari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melawat mangsa kemalangan bas membabitkan 24 Orang Asli di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Najib dan isteri yang tiba di hospital pada kira-kira 6.30 petang meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk meninjau, bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang cedera.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam nahas pukul 2 petang itu, seorang pelajar Mali Along, 21, maut, lima cedera parah manakala 18 diberi rawatan pesakit luar apabila bas yang membawa 36 penumpang terbabas di Kilometer 15 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Bas yang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan itu membawa penumpang bagi menghadiri Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama Perdana Menteri dan Pelancaran Program Mengubah Destini Orang Asli di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Iskandar, dekat sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan pelajar Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Kuantan, Pahang.

"Kesemua 24 mangsa yang cedera dibawa ke HRPB dan saya diberitahu Mali meninggal dunia di hospital kerana sesak nafas dipercayai akibat kecederaan dalaman," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya, polis menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, bas berkenaan yang menyertai konvoi bersama beberapa bas lain untuk ke perhimpunan bersama Perdana Menteri itu dipercayai bergesel dengan sebuah bas lain sebelum hilang kawalan dan terbabas di tebing sebelah kiri jalan.

"Penumpang cedera akibat terhimpit dalam bas," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment