My Add

Saturday 16 February 2013

Tanggungjawab rakyat Malaysia martabatkan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Adalah satu kerugian bagi rakyat Malaysia jika mereka sendiri tidak berusaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan alat komunikasi.

Seorang pemenang Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 yang berasal dari Turki, Halil Ibrahim, 25, berkata, ini kerana bahasa Melayu mempunyai identiti dan keunikan tersendiri setanding dengan bahasa antarabangsa yang lain.

Jelasnya, potensi ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam PABM apabila peserta dari pelbagai negara mampu bertutur dalam bahasa itu.

"Malah apabila kami berkumpul di satu tempat, orang tempatan begitu kagum melihat kami dari Turki, Jepun, Rusia, Afghanistan, Itali, Jerman dan Australia boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

"Sehubungan itu, mengapa tidak rakyat tempatan juga berusaha 'mengantarabangsakan' bahasa Melayu sebagai medium kesepaduan dan bahasa ilmu tinggi yang diktiraf dunia," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

PABM merupakan pentas pertandingan yang menampilkan peserta berlainan bangsa, budaya, bahasa dan latar belakang untuk berpidato di dalam bahasa Melayu.

Pada tahun ini, seramai 78 peserta dari 73 negara antaranya Amerika Syarikat, Kanada, England, Jerman, Itali, Perancis, Belanda, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Jepun dan Korea Selatan akan mengambil bahagian.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi itu berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya bermula 19 Februari ini.

Tambah Halil, dalam usaha mengembangkan penguasaan bahasa Melayu, beliau sendiri giat menterjemahkan penulisan akademik yang dihasilkan dalam bahasa Turki ke bahasa Melayu.

"Penterjemahan merupakan salah satu usaha dari segi pendidikan yang dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran berbahasa Melayu sekali gus meneruskan kelestarian bahasa tersebut," katanya.

Seorang lagi juara PABM tahun lalu yang berasal dari Afghanistan, Sebghatullah Qazizada berkata, niatnya yang mahu mempelajari adat dan budaya Melayu mendorongnya untuk meneruskan usaha ke arah pengembangan bahasa itu ke peringkat antarabangsa.

"Sekiranya diizinkan Allah, saya bercita-cita menubuhkan sebuah institusi bahasa Melayu di Afghanistan sebagai usaha memperkasa bahasa itu dalam kalangan rakyat tempatan," katanya.

Katanya, dia sentiasa berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu menerusi kaedah komunikasi dengan masyarakat setempat dan rujukan buku terjemahan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment