My Add

Tuesday 5 February 2013

Program B5 akan dipercepat

PUTRAJAYA, ISNIN, 04 Februari, 2013: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan program pengadunan lima peratus biodiesel sawit (B5) di seluruh negara pada tahun ini sebagai langkah mengurangkan stok tinggi minyak sawit pada masa sekarang.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok (gambar) berkata, seiring itu, pihaknya juga akan memperkenalkan satu lagi langkah iaitu program pengadunan 10 peratus biodiesel sawit (program B10) bagi sektor bukan subsidi.

"Langkah ini diambil sebagai menangani cabaran penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) dan peningkatan simpanan stok di mana hasil eksport itu pada tahun lepas jatuh kepada RM71.40 bilion.

"Jumlah itu menurun sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM80.41 bilion," katanya ketika berucap pada Seminar dan Dialog Cabaran dan Peluang Industri Minyak Sawit 2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor.

Menurut Dompok, kerajaan juga akan mengekalkan cukai eksport sifar untuk harga MSM pada bulan ini memandangkan harga komoditi itu tidak menunjukkan sebarang tanda melebihi paras RM2,250 setan metrik.

Katanya, program penanaman semula pokok kelapa sawit di bawah Bajet 2013 di mana sebanyak RM1,000 diperuntukkan bagi sehektar sebagai insentif mempercepatkan proses menebang pokok tua dan tidak produktif juga akan disegerakan.

Jelasnya, langkah penebangan sebanyak 100,000 hektar itu dijangka mengurangkan sebanyak 350,000 tan pengeluaran minyak sawit sekali gus membantu mengurangkan stok simpanan kepada paras normal.

"Melalui langkah ini sektor hiliran dijangka mendapat manfaat terutamanya sektor penapisan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment