My Add

Wednesday 20 February 2013

Projek kereta api laju KL-Singapura lonjak pembangunan: Kong Cho Ha

PUTRAJAYA, RABU, 20 Februari, 2013: Projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, yang dijangka siap menjelang 2020, akan melonjakkan pembangunan di sepanjang laluan dan stesen, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, hari ini.

Berdasarkan kajian awal, beliau berkata, lima stesen kereta api baru akan dibina iaitu di Seremban (Negeri Sembilan); Ayer Keroh (Melaka); dan Muar, Batu Pahat serta Iskandar Johor (Johor) menuju ke arah ke Singapura.

"Ini akan membawa pembangunan di kawasan sekitar stesen kereta api dan sepanjang laluan," katanya kepada pemberita pada sambutan Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong membuat pengumuman projek itu selepas mengadakan pertemuan empat mata dan perbincangan dua hala sempena sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di Singapura.

Kedua-dua pemimpin bersetuju usaha itu adalah perkembangan strategik kepada hubungan dua hala yang seterusnya akan meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura.

Kong berkata, pembinaan landasan lebih 400 kilometer itu akan membolehkan waktu perjalanan antara kedua-dua bandar raya dipendekkan kepada hanya 90 minit.

Beliau berharap projek kereta api berkelajuan tinggi itu akan dimulakan secepat mungkin memandangkan ia mengambil masa untuk dilaksanakan.

"Sebahagian besar daripada landasan itu akan dibina atas tanah," katanya, dan menambah projak itu membabitkan perkongsian awam-swasta.

Sementara itu, ketika berucap, Kong berkata, industri pengangkutan mencatatkan pertumbuhan positif dalam sektor penerbangan, darat dan maritim tahun lalu.

Beliau berkata, perolehan Jabatan Pengangkutan Jalan meningkat kepada RM3.3 bilion tahun lalu berbanding RM3.1 bilion pada 2011 manakala kutipan hasil daripada tender nombor pendaftaran kenderaan meningkat daripada RM180.78 juta pada 2011 kepada RM203.67 juta tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment