My Add

Monday 4 February 2013

Rakyat Malaysia bersatu hati

 *SEBAHAGIAN pelajar dan belia memberikan tepukan semasa menyaksikan siaran langsung ucapan perasmian oleh Najib Tun Razak di Auditorium Perbadanan Putrajaya sempena program My Beautiful Malaysia Day (MBMD) Peringkat Putrajaya di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Februari, 2013: Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama hari ini mempamerkan semangat jatidiri dan bersatu hati demi kebaikan dan kesejahteraan negara tercinta menerusi program My Beautiful Malaysia.

Program itu yang berlangsung serentak di 390 lokasi di seluruh negara, merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dianjurkan 1Malaysia for Youth (1M4U), menyasarkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Seramai 100,000 sukarelawan serta penduduk setempat hadir pada majlis pelancaran My Beautiful Malaysia oleh Najib di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan di sini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menerima sumbangan Tabung Gaza Palestin sebanyak RM261,960 daripada Kementerian Dalam Negeri dan RM289,000 daripada Rela yang disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan barisan Menteri Kabinet.

Di ibu negara, lebih 50,000 orang menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Taman Botani Perdana, Masjid Jamek, Taman Tasik Titiwangsa, Kampung Baru dan Brickfields.

Program yang berlangsung sejak 7.30 pagi dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Di PUTRAJAYA, seramai 10,000 belia menyertai program itu yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Antara aktiviti dijalankan ialah pembersihan kawasan awam, mengutip sampah dan kerja landskap yang melibatkan tujuh zon.

Di PERAK, kira-kira 120,000 sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program itu di beberapa lokasi, antaranya Ipoh Padang, Taman Tasik Taiping, Pasar Malam Gerik, Menara Condong Teluk Intan, Teluk Batik dan Pulau Pangkor.

Perasmian peringkat negeri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir itu turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Rata-rata peserta yang menjalankan aktiviti mengecat bangunan, kerja landskap dan membersihkan kawasan sekitar padang berkenaan mahu program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang.

Di NEGERI SEMBILAN, ribuan orang terdiri daripada belia, penjawat awam, pasukan angkatan tentera dan pelajar memenuhi Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson untuk menyertai program itu.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor; Exco-exco kerajaan negeri dan pemimpin pelbagai badan bukan kerajaan dan masyarakat.

Dalam ucapannya, Mohamad berkata, bagi mencapai status negara maju menjelang 2020, sikap kesukarelawan amat penting untuk dipupuk dalam masyarakat terutama belia.

Di MELAKA, hujan renyai tidak menghalang kira-kira 100,000 sukarelawan terdiri daripada belia, penjawat awam, pasukan angkatan tentera dan Polis Diraja Malaysia menyertai program itu.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Aktiviti sukarelawan yang melibatkan kerja pembersihan dan mengindah Sungai Melaka dengan mengutip sampah sarap dan menanam pokok diadakan di tiga kawasan tumpuan utama iaitu di Kunci Air Hampar Batu Berendam, Taman Bachang Baru dan Kunci Air Gangsa Durian Tunggal.

Di KELANTAN, lebih 100,000 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat menyertai program itu.

Mereka berkumpul mulai pukul 7 pagi di lokasi yang ditetapkan untuk melakukan kerja gotong-royong seperti membersih pantai, perkuburan, masjid, pasar awam, persekitaran bandar dan destinasi pelancongan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melancarkan program itu di Pantai Irama dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Di TERENGGANU, seramai 80,000 orang menyertai program itu yang diadakan secara serentak di lima lokasi selain Pantai Batu Buruk iaitu di Pantai Teluk Ketapang, Lagun Kuala Ibai di sini, Pantai Rhu 10 di Setiu dan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Program dimulakan dengan ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada 8.30 pagi diikuti senamrobik beramai-ramai, acara menanam pokok dan gotong-royong di sekitar kawasan pantai terbabit.

Di PAHANG, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pelaksanaan program My Beautiful Malaysia bukan sahaja dapat membersihkan lokasi tertentu malah mengeratkan hubungan antara kaum.

"Ikatan silaturahim antara umat Islam dan kaum lain dapat dieratkan ketika bersama-sama bergotong-royong," katanya pada majlis pelancaran program itu di Pantai Teluk Cempedak di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment