My Add

Tuesday 5 February 2013

Rakyat sambut baik Bantuan Lesen 1Malaysia

JEMPOL, ISNIN, 04 Februari, 2013: Orang ramai berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang mengenakan bayaran rendah untuk memperoleh lesen memandu kelas B2.

Menurut penduduk Felda Gugusan Alias 1, Nazrulhazra Zolkepli, 32, sebelum ini kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan program 'Satu Komuniti Satu JPJ' iaitu memberi peluang kepada rakyat berusia 45 tahun ke atas menikmati lesen motosikal ini.

"Hari ini saya gembira kerana kerajaan tidak melupakan golongan di bawah usia 45 tahun dengan menyediakan BL1M pada kadar yang murah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, usaha itu satu langkah terpuji dan menggalakkan pemilikan lesen memandu serta keutamaan dalam aspek keselamatan jalan raya.

Seorang belia, Amry Sulong, 20, memberitahu, dia telah empat kali gagal dalam ujian berkomputer.

"Setiap kali gagal, saya perlukan RM30 untuk menduduki ujian semula. Dengan adanya BL1M, calon yang gagal boleh mengulangi semula tanpa dikenakan bayaran.

''Kalau gagal kali ketiga, calon akan menduduki ujian secara lisan. Ini peluang yang amat baik sekali," katanya.

Sementara itu remaja, S. Sangkaran, 17, dari Bandar Seri Jempol dekat sini, gembira dengan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri. Saya perlu ke sekolah dan ada ketikanya dengan menaiki motosikal. Sudah tentulah saya memerlukan lesen dan wang untuk tujuan itu.

"Apabila diperkenalkan BL1M, saya lihat program itu amat membantu kami golongan pelajar dan belia. Dengan hanya bayaran rendah, kita boleh memiliki lesen motosikal," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment