My Add

Monday 18 February 2013

Sambutan tinggi beri isyarat Tanah Merah bertukar tangan


* SEBAHAGIAN anak-anak Kelantan yang hadir menunjukkan sokongan semasa mendengar ucapan Najib Tun Razak pada Majlis Perhimpunan Perdana Anak-anak Kelantan 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Februari, 2013: Pendaftaran lebih 5,000 orang anak-anak jajahan Tanah Merah, Kelantan yang berada di perantauan pada Perhimpunan Perdana Anak-Anak Kelantan 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini memberi isyarat bahawa parlimen itu akan bertukar tangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Urus setia gerai Tanah Merah, Azmi Noordin berkata, sambutan yang diterima begitu menggalakkan apabila lebih daripada 5,000 orang mendaftar dan jumlah itu melebihi sasaran 3,000 yang ditetapkan.

Katanya, gerai itu dibuka khas kepada pengunjung-pengunjung yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan serta pengundi-pengundi di parlimen itu yang berada di perantauan untuk mendaftar bagi direkodkan.

''Dengan kepemimpinan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, saya yakin rakyat akan mengembalikan Tanah Merah kepada BN.

''Kami juga berharap BN akan membawa perubahan kepada Kelantan. Sudah lama sangat kerajaan Pas memerintah namun tiada perubahan dan kemajuan yang dibawa mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Selain Tanah Merah, parlimen-parlimen Kelantan lain turut membuka gerai masing-masing dengan sambutan yang diterima turut memberangsangkan.

Kira-kira 20,000 anak-anak Kelantan yang berada di perantauan terutama di kawasan Lembah Klang membanjiri perhimpunan itu bagi mendengar amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena PRU-13 ini.

Rata-rata mereka hadir dengan berbaju serba merah bagi menunjukkan sokongan kepada 'Gelombang Merah' yang dilancarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment