My Add

Monday, 4 February 2013

Yayasan MyNadi bantu kaum India

KUALA LUMPUR,AHAD, 03 Februari, 2013: Yayasan MyNadi yang ditubuhkan untuk meningkatkan taraf hidup kaum India khususnya, telah membantu lebih 10,000 orang dalam tempoh kurang dari empat tahun penubuhannya pada 19 Oktober 2009.

Ia bersesuaian dengan objektif penubuhannya iaitu demi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu nasib rakyat kurang bernasib baik di negara ini.

Pengerusi Yayasan MyNadi, Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai berkata, fokus bantuan yayasan itu ialah terhadap beberapa isu antaranya pendidikan, kuil, masalah pengangguran, peluang perniagaan dan ekonomi, sosial dan kebajikan.

"Kami sedar isu ini menjadi sebahagian masalah mereka dan melalui Yayasan MyNadi, kami dapat membantu golongan terbabit yang dalam kesusahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, yayasan itu dinamakan sedemikian kerana mahu merasakan denyut nadi masyarakat secara keseluruhan khususnya yang amat memerlukan bantuan.

Yayasan MyNadi mempunyai enam projek utama iaitu Sakthi, Ilmu, Harapan, Pintar, Rakan Sukan dan Suria dengan setiap projek tersebut diketuai oleh seorang ahli lembaga pemegang amanah.

Jeyaindran berkata, yayasan itu membelanjakan kira-kira RM1 juta pada tahun pertama penubuhan, RM1.5 juta pada tahun kedua dan RM2 juta pada tahun ketiga untuk kesemua aktiviti yang dijalankan di bawah enam projek tersebut.

"Projek Harapan menitik berat isu berkaitan kebajikan, projek Suria pula tertumpu pada kesihatan dan kesejahteraan manakala projek Rakan Sukan untuk pembangunan belia dan sukan.

"Projek Sakthi, Ilmu dan Pintar pula masing-masing tertumpu pada kerja-kerja menaik taraf kuil, sekolah Tamil dan tahap pendidikan," katanya.

Katanya, antara aktivitinya adalah menubuhkan pusat tuisyen MyNadi di bawah projek Pintar, pertandingan sains di peringkat sekolah dan memperuntukkan sumbangan di bawah projek Sakthi untuk beberapa kuil.

Di bawah projek Rakan Sukan pula jelasnya, pelbagai acara dianjurkan untuk memartabatkan lagi sukan tradisi kaum India contohnya silambam dan kabbadi.

Menurut beliau, Yayasan MyNadi juga membantu golongan selain kaum itu.

"Kami pernah menyelesaikan beberapa isu seperti mendapatkan sijil kelahiran, MyKad dan kad orang kurang upaya tanpa mengira kaum.

"Kami juga membantu petani Cina di kampung Kalumpang, Selangor. Kebanyakan petani ini mempunyai masalah tanah, jadi kami menghubungi beberapa rakan yang membuat tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menolong mereka serta mendapatkan bantuan kerajaan," katanya.

Mengenai projek akan datang, Jeyaindran berkata, beberapa projek dikenal pasti seperti membantu peniaga dan pengusaha kecil mempamerkan hasil produk mereka dalam laman web, membantu pemuzik India di Selangor dan melahirkan chef India.

"Ia dapat memanfaatkan pengusaha kecil dan sederhana dan peniaga kecil-kecilan. Projek tersebut menggabungkan hasil kerja mereka dalam satu laman web supaya orang ramai boleh memilih barangan atau perkhidmatan yang dipamerkan," katanya.

Menurut beliau, yayasan tersebut menerima dana daripada pelbagai sumber antaranya kerajaan, pelbagai agensi kerajaan dan penderma untuk menjalankan aktiviti mereka.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi yayasan berkenaan di talian 03-21660788 atau melayari www.yayasanmynadi.org. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment