Angkasa mahu perluas sistem pembiayaan syariah
KOTA BHARU, KHAMIS, 11 April, 2013: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mahu semua koperasi kredit yang bernaung dengannya berdaftar dengan perkhidmatan di bawah Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) untuk manfaat lebih 2.3 juta ahli.
Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kopsya, Prof. Datuk. Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, konsep Kopsya berlandaskan pembiayaan Al-Tawarruq yang diiktiraf seluruh dunia.
Katanya, ia juga mampu memberikan faedah besar kerana membolehkan ahli melangsaikan sebarang pinjaman dalam masa lebih singkat menerusi skim perkongsian atau musyarakah.
Menurut beliau, ini selaras dengan usaha Angkasa menaik taraf peranan koperasi kredit setaraf dengan operasi bank komersial dan setakat ini, lebih 50 peratus daripada 533 koperasi kredit yang bernaung di bawahnya sudah pun berdaftar dengan Kopsya.
Jelasnya, Kopsya yang ditubuhkan pada 2011 menawarkan beberapa jenis perkhidmatan, antaranya pembiayaan peribadi, kewangan dan perumahan kepada koperasi dan ahli.
"Pembiayaan rumah misalnya yang dilakukan menerusi bank memerlukan masa sehingga 35 tahun untuk pembayaran, menjadikan harga rumah dibeli lebih mahal, tetapi Kopsya menggunakan kaedah musyarakah mutanaqisah iaitu sewa pajakan yang sangat fleksibel membolehkan ahli memiliki rumah idaman dalam masa lebih singkat, sekali gus membayar dengan harga rendah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Koperasi Kredit Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Perbankan (BPKP) Angkasa peringkat negeri Kelantan dan Terengganu di sini semalam.
Yang turut hadir, Naib Presiden Angkasa merangkap Pengerusi BPKP Angkasa, Mutadho Bahri.
Dalam pada itu, Mohd. Ali berkata, sebagai badan koperasi tunggal yang dibenarkan melakukan potongan gaji bulanan ahli, Angkasa kini menguruskan pungutan hampir RM1 bilion sebulan berbanding hanya RM1.5 juta sebulan pada pertengahan tahun 1970-an.
Beliau berkata, pihaknya membelanjakan kira-kira RM30 juta untuk menaik taraf sistem maklumat sejak beberapa tahun lalu dan berbangga kerana fasiliti dimiliki adalah yang terbaik selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). - UTUSAN
No comments:
Post a Comment