My Add

Friday, 12 April 2013

Bahan penyelidikan tempatan perlu lebih mudah difahami

PULAU PINANG, KHAMIS, 11 April, 2013: Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) disaran mengatasi masalah kekurangan bahan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi yang lebih mudah difahami pembuat dasar kerajaan atau swasta.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kebanyakan penyelidikan saintifik yang dihasilkan pensyarah dan penyelidik ketika ini sukar diterima dan difahami kumpulan pembuat dasar.

Menurut beliau, laras bahasa dalam penyelidikan saintifik itu juga sukar difahami orang awam menyebabkan apa yang ingin disampaikan gagal mencapai maksud sebenar.

"Situasi ini berbeza dengan negara luar yang lebih banyak menerbitkan bahan penyelidikan lebih mudah difahami dan diterima semua pihak termasuk orang awam," katanya kepada pemberita selepas majlis Persada Kencana di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, pihak universiti perlu menyediakan penyunting yang benar-benar memahami hasil penyelidikan dan berkemampuan menterjemahkannya kepada bahasa yang lebih mudah difahami orang awam.

Katanya, sebagai sebuah universiti berstatus Program Pemacu Untuk Kecemerlangan (Apex), katanya, USM harus membantu kementerian mengatasi masalah tersebut dengan menyediakan bukan sahaja penyelidik tetapi penyunting bahan kajian saintifik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment