My Add

Monday, 1 April 2013

Lima pondok agama terbakar

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
BACHOK, AHAD, 31 Mac, 2013: Tindakan pantas seorang jiran berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang menghidap angin ahmar daripada mati rentung selepas lima pondok agama di Kampung Kolam di sini, musnah terbakar hari ini.

Mangsa, Rugayah Md. Noor, 68, ketika menceritakan semula detik cemas itu memberitahu, dalam kebakaran kira-kira pukul 10 pagi itu, dia terpaksa dipapah keluar dalam keadaan bertongkat oleh jirannya.

"Masa itu saya baru nak sarapan pagi. Tak tahu pun ada pondok terbakar sehingga jiran datang memapah keluar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian, suaminya, Hasbullah Mohamad, 71, yang juga mudir pondok berkenaan tiada di rumah kerana keluar membeli surat khabar.

Hasbullah semasa ditemui berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas dimaklumkan orang ramai dan bersyukur tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku walaupun semua barang tidak dapat diselamatkan termasuk kitab dan buku-buku agama.

"Alhamdulillah... tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku, isteri saya selamat dan semua penghuni yang tinggal di lima pondok yang musnah juga terselamat kerana tiada pada masa kejadian.

"Mungkin semua keluar rumah untuk ke pasar atau ke rumah anak-anak kerana kelas pengajian hanya pada waktu malam," katanya.

Menurut Hasbullah, kebakaran mungkin disebabkan litar pintas kerana sistem pendawaian di pondok itu sudah agak lama.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abd. Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu pada pukul 10.28 pagi dan berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran kira-kira sejam selepas itu.

Beliau berkata, 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dihantar untuk memadamkan kebakaran.

"Api cepat merebak kerana keadaan cuaca yang begitu panas, tambahan pula keadaan pondok berdekatan antara satu sama lain.

"Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment