RM5,000 bantu mangsa kebakaran
BACHOK, AHAD, 31 Mac, 2013: Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5,000 bagi membantu meringankan bebanan enam penghuni pondok di Kampung Kolam, dekat sini yang musnah dalam kebakaran pukul 10 pagi ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, bantuan itu bagi membolehkan setiap mangsa membeli keperluan asas selepas semua barangan musnah dalam kebakaran tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JPPK atau agensi berkaitan bagi membantu penghuni pondok terbabit memiliki rumah baharu yang lebih selesa.
"Peruntukan RM5,000 adalah daripada dana wang ihsan menerusi JPPK yang menetapkan saluran bantuan kepada mangsa ditimpa musibah kebakaran rumah dan kehilangan harta benda.
"Kerajaan Persekutuan sentiasa perihatin untuk membela mangsa yang ditimpa kejadian sebegini yang tidak dapat diduga oleh sesiapa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Awang Adek turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM500 seorang kepada semua mangsa yang tinggal selesai sepinggang.
Yang turuh hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Hussin dan Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Ab. Rahim Che Ghani.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, pihaknya akan turut memikirkan langkah susulan bagi menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa terbabit.
"Bantuan segera memang amat diperlukan bagi membolehkan penghuni pondok berkenaan dapat mengikuti pengajian agama dengan lebih selesa. Saya simpati dan tersentuh dengan musibah yang berlaku. Bagaimanapun kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment