My Add

Wednesday, 10 April 2013

Pembangkang celaru senarai calon

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan ASSIM HASSAN
UALA LUMPUR, SELASA, 09 April, 2013: Keyakinan terhadap sindrom 'letak siapa sahaja pasti akan menang' ekoran kemenangan besar pada pilihan raya umum lalu kini memakan diri pembangkang apabila kalangan mereka mula berebut-rebut untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Hal ini jelas kelihatan dalam beberapa senario yang menyaksikan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sepakat malah berlumba-lumba mengumumkan calon masing-masing sehingga menyebabkan berlaku pertembungan calon antara sesama mereka.

Lebih teruk, Pas sendiri menunjukkan kecelaruan apabila bertindak mengumumkan dua nama untuk bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan iaitu Ketua Dewan Pemuda Pas Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan penyanyi Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin.

Bagi Parlimen Telok Kemang pula, Pas dikatakan mahu meletakkan calonnya walaupun kerusi itu disandang dan akan ditandingi Datuk Kamarul Bahrin Abbas dari PKR.

Ini termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang yang menyaksikan perebutan calon sesama DAP apabila muka baharu yang diketengahkan pucuk pimpinan tidak mendapat sokongan akar umbi.

Di Pahang, pemilihan Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai calon pembangkang di Parlimen Indera Mahkota mengundang bantahan dalam kalangan ahli parti itu apabila salah seorang pengasas PKR negeri itu, G. Ramponusamy mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas semata-mata untuk melawan Fauzi.

Pergolakan PKR Pahang berterusan dan menurut laporan akhbar, Ketua Cabang PKR Paya Besar, Zahari Mamat mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Paya Besar.

Selain calon Barisan Nasional (BN), Zahari akan dicabar calon PKR yang telah diumumkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Murnie Hidayah Anuar.

Selain Zahari, turut mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas ialah Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Paya Besar, Mohamad Fauzi Ramli untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar.

Bagi pertandingan di Terengganu pula, pengumuman Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail bahawa PKR akan bertanding dalam 11 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen di negeri itu juga menimbulkan kontroversi.

Masakan tidak, pengumuman itu dilihat bertentangan kenyataan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut yang menegaskan bahawa persetujuan telah dicapai iaitu Pas akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen manakala PKR satu kerusi.

Begitu juga di Perlis apabila dikatakan PKR dan Pas mula 'berperang' untuk merebut kerusi Parlimen Kangar yang sebelum ini diperuntukkan untuk PKR.

PKR juga difahamkan tidak akan memberi laluan kepada DAP untuk bertanding di kerusi DUN Indera Kayangan.

Di Kedah, tindakan Anwar mengumumkan nama calon PKR bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah dan Alor Setar mengecewakan DAP negeri kerana tidak mengambil kira pandangan parti itu.

Pertembungan antara PKR dan DAP mungkin berlaku di dua kerusi Parlimen itu termasuk kerusi DUN Bakar Arang, Derga, Bakar Bata, Lunas dan Gurun.

Sementara itu, di Kelantan, Ketua Pas Cawangan Guchil Hulu, Kuala Krai, Muhamad Bustaman Yaacob pernah menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket Bebas di DUN Guchil, Kuala Krai.

Menurut laporan, beliau akan hanya menarik balik keputusan itu sekiranya Pas meletakkan calon di kawasan berkenaan kerana beranggapan PKR tidak relevan di Kuala Krai mahupun Kelantan.

Ini termasuk DUN Selising apabila ada calon Pas dikatakan akan bertanding di bawah tiket Bebas untuk melawan penyandang, Drs. Saipul Bahrin Mohamad.

'Virus' perebutan kerusi antara pembangkang turut menular di Selangor apabila DUN Kota Damansara dan Kajang bakal menyaksikan pertembungan antara PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pertembungan tiga penjuru mungkin berlaku di kerusi Parlimen Sabak Bernam melibatkan dua calon PKR dan seorang calon Pas manakala PKR mempunyai dua calon untuk kerusi DUN Pelabuhan Klang.

Perak tidak ketinggalan menerima tempias 'virus' itu melibatkan Parlimen Bagan Serai dan Pasir Salak selain DUN Alor Pongsu, Sungai Manik serta Changkat Jering yang direbut antara Pas dan PKR.

Pembangkang yang berhasrat untuk menawan Johor juga berdepan kontroversi perebutan terutama di Parlimen Batu Pahat serta Gelang Patah yang kemudiannya diumum Anwar untuk memberi laluan kepada Lim Kit Siang.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng yang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Segamat dijangka berdepan masalah apabila DAP dikatakan tidak 'merestui' pencalonannya dan dikatakan akan turut meletak calonnya selain tentangan daripada BN.

Difahamkan, DAP dan PKR turut bertelagah dalam meletakkan calon di kerusi DUN Tangkak dan Johor Jaya.

Pakatan pembangkang di Pulau Pinang juga dikatakan bergolak apabila Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Rawa menegaskan calon Pas akan bertanding di kerusi DUN Sungai Acheh.

Namun perkara itu disangkal Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment