My Add

Wednesday, 10 April 2013

RM10 juta jaya projek Atom

Oleh ALI MAHMOOD
BERA, SELASA, 09 April, 2013: Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakan projek Permodenan Bengkel Automotif atau dikenali sebagai Atom dengan menaik taraf 75 buah bengkel kereta dan motosikal di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan Atom itu disalurkan melalui Bank Rakyat dan koperasi dengan masing-masing menerima RM5 juta.

Katanya, setakat ini, 40 bengkel kereta sudah berjaya dinaik taraf menjadi sebuah bengkel yang memiliki ciri-ciri moden, cantik, kemas dan tersusun dan bakinya akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

"Pengusaha yang menerima manfaat Atom telah berjaya menambah pendapatan mereka daripada 35 hingga 55 peratus berbanding pendapatan diperolehi semasa mengusahakan bengkel sebelum ini.

"Zaman bengkel kereta yang kotor, lantai simen yang hitam akibat tumpahan minyak pelincir dan suasana persekitaran tidak menyenangkan sudah berlalu, sebaliknya hari ini pelanggan suka membaiki kereta atau motosikal di bengkel yang bersih dan moden," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek Atom di Bengkel Weng Sam Motor Trading, Triang di sini semalam.

Menurut beliau, industri bengkel membaiki kenderaan kini bernilai RM10 bilion setahun.

Tambahnya, sejak program Atom diperkenalkan pada 2010, sebanyak 205 bengkel berjaya dimodenkan sehingga penghujung Disember tahun lalu yang membabitkan peruntukan RM20.5 juta.

Ismail Sabri berkata, semasa mula diperkenalkan, kerajaan hanya meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM50,000 bagi setiap bengkel tetapi kini dinaikkan kepada RM100,000.

Katanya, matlamat utama kerajaan adalah untuk melihat para peniaga terutamanya pemilik bengkel motosikal maju dan mampu bersaing serta beroleh pendapatan yang lumayan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment