Ulu Sungai Menyang bakal diwarta Taman Negara
KUCHING, SELASA, 09 April, 2012: Kerajaan Sarawak mahu mewartakan kawasan hutan seluas 14,000 hektar di sekitar Ulu Sungai Menyang, Lubok Antu sebagai Taman Negara berikutan penemuan populasi besar orang utan jenis pongo pygmaeus pygmaeus sejak beberapa bulan lalu.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pongo pygmaeus pygmaeus tersenarai sebagai subspesies orang utan paling terancam di dunia dan pada masa ini, jumlah haiwan itu yang mendiami sekitar Ulu Sungai Menyang dianggarkan mencecah 200 ekor.
Katanya, populasi keseluruhan haiwan berkenaan di seluruh dunia hanya sekitar 4,500 ekor dengan kira-kira 2,000 daripadanya terdapat di Taman Negara Batang Ai serta Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau.
Jabatan Hutan negeri dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC), Wildlife Conservation Society serta Borneo Adventure telah membuat tinjauan terperinci di kawasan tersebut pada Februari lalu dan berjaya mengenal pasti 995 sarang orang utan.
Sementara itu, tinjauan udara menggunakan helikopter untuk menghitung sarang yang paling terpencil pula berjaya mengesan sebanyak 199 sarang haiwan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Sumber, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Hutan negeri, Datuk Ali Yusup.
Awang Tengah dalam pada itu memberitahu, kesimpulan daripada hasil tinjauan itu, kerajaan bersetuju mewujudkan Hutan Konservasi Bernilai Tinggi (HCFV) di kawasan tersebut dan akan bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan orang utan.
Kita akan mengadakan beberapa siri dialog dan perbincangan dengan komuniti Iban yang mendiami kawasan itu untuk mendapatkan sokongan dan meyakinkan mereka mengenai kebaikan rancangan ini.
Meskipun kawasan itu akan diwartakan sebagai Taman Negara, kita memberi jaminan gaya hidup komuniti tempatan tidak akan terjejas malah hak-hak serta adat resam mereka tetap diiktiraf serta dilindungi kerajaan negeri," katanya.
Dalam perkembangan sama, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, selaras dengan rancangan kerajaan negeri itu, pengeluaran lesen pembalakan di kawasan berkenaan telah dihentikan serta-merta. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment