My Add

Wednesday, 10 April 2013

Simpan rahsia pertahanan

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 April, 2013: Anggota tentera perlu meningkatkan integriti dengan menjauhi gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta menyimpan rahsia pertahanan negara supaya tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, budaya kerja tidak sihat itu hanya akan merosakkan imej pasukan keselamatan negara serta mencemar nama baik kerajaan.

Menurut beliau, anggota keselamatan perlu menyedari pihak-pihak tidak bertanggungjawab ketika ini yang hanya menunggu peluang untuk mempolitikkan sebarang isu berkaitan pertahanan negara.

"Dalam keadaan ini, integriti dan tanggungjawab kerja kita perlu ditingkatkan, jauhi rasuah, jangan salah guna kuasa dan tidak memberi maklumat risikan kepada mana-mana pihak yang tidak berkenaan di dalam mahupun luar negara," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan 2013 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 961 kakitangan awam dan 35 pegawai serta anggota tentera menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, penghargaan kepada kakitangan pertahanan merupakan pengiktirafan kepada hasil kerja mereka, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Pengiktirafan ini perlu dijadikan amanah untuk dipikul dan dilaksanakan dengan penuh dedikasi sepanjang kerjaya.

"Anugerah ini juga menjadi perangsang kepada seluruh warga kerja pertahanan untuk berusaha lebih gigih dalam persekitaran persaingan yang sihat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment