*HISHAMMUDDIN Tun Hussein mengucapkan tahniah kepada Mohammad Mentek yang akan memulakan tugasnya pada 2 April ini ketika melawat kabin Esscom di Lahad Datu, semalam. |
LAHAD DATU, AHAD, 31 Mac, 2013: Bermula 2 April ini, tiga buah Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) akan beroperasi di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) iaitu di Lahad Datu, Kudat dan Pos Kawalan Imigresen Bersepadu Kerakit, Pulau Banggi, Kudat dekat sini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 12 kabin akan digunakan sebagai pejabat sementara yang merangkumi enam kabin di ICQS Lahad Datu, empat kabin (Kudat) dan dua (Pulau Banggi).
Beliau berkata, sebanyak 14 pegawai akan ditempatkan sementara di setiap ICQS dan pos kawalan itu termasuk Unit Risikan dan Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Semua kabin telah tiba di lokasi pada 28 Mac lalu. Inisiatif itu bertepatan dengan Lahad Datu yang diwartakan sebagai pintu masuk laut pada 7 April 1993," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak ICQS Lahad Datu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kewujudan ICQS itu membolehkan pemantauan dibuat terhadap pergerakan keluar masuk, khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), selain menjamin keselamatan kapal dagang yang melalui perairan ini.
"Secara langsung dapat memperketatkan kawalan setempat di Pantai Timur Sabah, di samping memberikan kemudahan laluan masuk kepada warga asing dari perairan pantai timur yang mempunyai dokumen perjalanan sah menggunakan laluan diwartakan.
"Saya percaya pelaksanaan Esscom yang akan dipantau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi jawatan kuasa pemantau dan Ketua Menteri Sabah sebagai pengerusi Esszone serta Mohammad menjadi komponen penting bagi menjamin keselamatan negeri ini," jelasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment