My Add

Saturday 28 December 2013

Gesaan batal sambutan 2014 terus disokong

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Saranan supaya kerajaan membatalkan sambutan tahun baharu 2014 mendapat sokongan padu daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain tidak Islamik, mereka menegaskan pembatalan itu juga bagi menyekat mana-mana pihak mengeksploitasikan kehadiran orang ramai dalam sambutan berkenaan untuk menjayakan Himpunan Guling Kerajaan.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sambutan tahun baharu Masihi secara besar-besaran bukan sahaja menyimpang daripada agama malah mengundang banyak kemudaratan kepada rakyat.

"Baik batalkan sambutan tahun baharu. Bukan ada dalam syarak pun. Kalau diteruskan, banyak mudarat boleh berlaku antaranya terdapat kelompok anarki yang akan mengambil kesempatan membuat huru-hara (Himpunan Guling Kerajaan)," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Veteran UMNO, Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa kerajaan membatalkan sambutan tahun baharu 2014 kerana majlis itu bertentangan dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Gesaan itu juga berkaitan kebimbangan terhadap status keselamatan orang ramai yang menghadiri sambutan berkenaan kerana pada masa yang sama, Himpunan Guling Kerajaan dikatakan akan berlangsung.

Mengenai dalih Pemuda Pas yang mendakwa mereka akan berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyokong perhimpunan bantahan kenaikan kos sara hidup dan bukannya Himpunan Guling Kerajaan, Ismail Mina berkata beliau yakin rakyat semakin cerdik untuk menilai niat terselindung itu.

Katanya, Pemuda Pas dan sekutu pembangkang lain perlu berhenti menangguk di air keruh dengan menggunakan alasan menyokong perhimpunan lain sedangkan mereka tahu terdapat satu lagi perhimpunan bagi menggulingkan kerajaan akan berlangsung serentak.

"Kenaikan kos sara ini fenomena dunia. Masalah boleh selesai ke kalau tumbangkan kerajaan? Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun kata ada cara selesaikan masalah ini (pendekatan kurangkan kos), jadi selesaikan secara budiman, jangan pula melibatkan rakyat dengan huru-hara.

"Hentikanlah alasan yang menghalalkan niat jahat itu kerana masyarakat sudah bosan. Gunakan demokrasi secara tertib untuk dapatkan kuasa, bukan dengan cara berhimpun di tepi jalan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan Profesional Asia (APSA), Datuk Rahmat Ismail yang mengutuk sekeras-kerasnya penganjuran perhimpunan itu dan menggesa masyarakat menolak agenda jahat mana-mana pihak untuk mengguling kerajaan.

"Mereka yang hasut rakyat ini sudah tidak siuman, dipengaruhi sikap tamak dan angkuh serta tidak dapat mengawal nafsu untuk menghuru-harakan negara dengan memperalatkan rakyat demi mencapai matlamat politik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment