My Add

Sunday, 29 December 2013

Bangkai hidupan laut bersaiz gergasi ditemui

* MOHD. Nor Omar (duduk, kiri) memeriksa bangkai hidupan laut berkemungkinan seekor dugong yang terdampar di Santubong, Sarawak, semalam. - Mingguan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
SANTUBONG, SABTU, 28 Disember, 2013: Selepas digemparkan dengan fenomena ribuan ikan tamban naik ke darat baru-baru ini, di Lahad Datu, Sabah, hari ini kawasan peranginan di negeri ini dikejutkan dengan penemuan bangkai hidupan laut bersaiz gergasi.

Bangkai hidupan laut sepanjang lebih empat meter itu ditemui di sebuah pusat peranginan Pasir Panjang di sini iaitu 40 kilometer dari bandar raya ini pada pukul 7 pagi.

Salah seorang pekerja pusat peranginan itu, Mohd. Hamzah Man berkata, dia terhidu bau hanyir yang kuat sebelum menemui bangkai hidupan laut yang hampir mereput di tepi pantai tersebut.

"Selepas terhidu bau hanyir itu, saya dan beberapa rakan yang lain cuba mencari sampah yang mungkin tidak dibuang dengan betul sebelum terjumpa objek besar dan panjang di tepi pantai ini.

"Kami mendekati objek tersebut dan mendapati itu merupakan bangkai hidupan laut yang besar, mungkin ikan paus dan mengeluarkan bau sangat kuat," katanya.

Tambah Mohd. Hamzah, dia dan rakan-rakannya percaya bangkai hidupan laut itu telah dipukul ombak pada awal pagi ini kerana ketika mereka bertugas hingga tengah malam semalam tidak terhidu atau ternampak objek tersebut.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium negeri, Mohd. Nor Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum mengetahui spesies dan jenis bangkai hidupan laut itu, namun berkemungkinan seekor dugong.

"Pakar zoologi Jabatan Muzium Sarawak akan membuat penyiasatan lanjut berhubung penemuan bangkai tersebut," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment