My Add

Saturday, 28 December 2013

ROS digesa jangan layan kerenah DAP

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Disember, 2013: Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa supaya tidak lagi melayan kerenah DAP yang dilihat 'angkuh' dan sengaja berterusan bermain tarik tali berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang diadakan dalam Kongres Khas pada 29 September lalu.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, ROS telah banyak memberi peluang dan tempoh masa panjang kepada DAP untuk memperbetulkan kesilapan salah kira undi serta beberapa aduan daripada ahli parti itu sendiri.

Namun, jelasnya, DAP masih bersikap sombong dengan menuding jari kepada ROS selain berterusan memancing undi simpati dalam kalangan penyokong dan rakyat seolah-olah menjadi mangsa keadaan.

"Saya tidak faham mengapa ROS masih mahu berlembut dengan DAP yang sehingga hari ini yang masih enggan bekerjasama dengan mereka.

"Walaupun sudah dua kali membuat pemilihan CEC yang sama, namun sampai hari ini tidak lagi selesai, arahan-arahan mudah yang diberikan ROS masih lagi diingkari," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya menggantung keputusan CEC DAP kerana siasatan masih dijalankan.

Bagaimanapun laporan berhubung pemilihan khas CEC yang dihantar sebenarnya dilaporkan tidak mengandungi maklumat yang mencukupi serta menyukarkan ROS untuk menyiasat sebarang dakwaan.

Tidak cukup dengan itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan anak beliau, Gobind Singh Deo mengugut mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS sekiranya terus menggantung keputusan parti itu September lalu.

Tambah Tuan Tat, ROS hanya meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya mengemukakan senarai nama 2,576 perwakilan sah yang berhak hadir, senarai nama 1,740 perwakilan yang hadir dan mengundi serta senarai nama 2,985 cawangan yang berdaftar sebagai 'Sijil A'.

"Mengapa Karpal dan Guan Eng begitu takut hendak beri kepada ROS semua dokumen yang dikehendaki untuk membuat siasatan atas aduan ahli DAP sendiri bahawa wujud 450 orang perwakilan haram semasa pemilihan semula lepas.

"Jika tidak melakukan sebarang kesalahan mengapa mahu takut, bohong dan cuba persepsi sebenar umum terhadap pemilihan CEC, mengapa tidak tampil sahaja," tegasnya.

Tuan Tat meminta ROS supaya tidak lagi memberi muka kepada DAP sebaliknya terus mengambil tindakan tegas agar segelintir pemimpin parti itu tidak lagi menyalahgunakan kuasa mereka.

"Cukup-cukuplah ROS beri muka kepada DAP. Segelintir pemimpin dalam parti itu sebenarnya bongkak dan sengaja mempermainkan isu ini supaya terus mendapat simpati daripada masyarakat umum," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment