My Add

Friday 27 December 2013

400 laporan polis diterima

 *WAKIL Perkasa Putrajaya, Safian Mohd. Salleh (tiga dari kiri) bersama barisan NGO Putrajaya membuat laporan polis berhubung Himpunan Guling Kerajaan di IPD Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Disember, 2013: Pelbagai pihak di seluruh negara terus membuat laporan polis bagi membantah penganjuran Himpunan Guling Kerajaan pada minggu depan dengan jumlah terkini kira-kira 400 laporan diterima sehingga petang ini .

Pengerusi Pertubuhan Islam Belia Kepong, Datuk Norizan Ali berkata, cubaan penganjur untuk menjadikan perhimpunan jalanan seperti diamalkan di beberapa buah negara lain sebagai budaya perlu dihalang.

"Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku dan tidak boleh diambil ringan. Polis perlu menggunakan apa sahaja cara untuk menghalang perkara ini terjadi," katanya selepas membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Di Putrajaya, Wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Putrajaya, Safian Mohd. Salleh meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara membuat laporan polis bagi membantah penganjuran Himpunan Guling Kerajaan.

Katanya, tindakan tersebut perlu diambil oleh semua pihak bagi menyuarakan bantahan terhadap golongan yang mahu menghancurkan keamanan negara.

Beliau ditemui pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang turut dihadiri enam NGO lain sebagai tanda sokongan.

Antaranya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Putrajaya; Majlis Belia Putrajaya; Persatuan Belia Putrajaya; Jaringan Kasih Exora dan Persatuan Selempang Merah.

Di Kota Bharu, Pemuda UMNO Pengkalan Chepa dan Pertubuhan Barisan Darulnaim Negeri Kelantan (Badar) turut membuat laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan.

Laporan tersebut turut dibuat bagi meminta polis menyiasat blog milosuam.blogspot.com yang menyiarkan kenyataan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia untuk mengajak rakyat berhimpun secara haram pada malam tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Haris Husin berkata, pihaknya mengutuk tindakan kumpulan tidak bertanggungjawab itu kerana boleh mengakibatkan huru-hara dalam kalangan rakyat.

"Kami memohon seluruh pihak dan agensi berkaitan menyekat maklumat atau cubaan terhadap perhimpunan itu selain mengambil tindakan tegas ke atas pengkhianat bangsa dan negara," katanya selepas membuat laporan tersebut di IPD Kota Bharu dengan diiringi hampir 50 penyokong.

Di Shah Alam, lima NGO di Selangor membuat laporan polis bagi membantah penganjuran perhimpunan haram itu.

Ketua Persatuan Bekas Tentera British Malaysia, Abdul Aziz Jonet berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menghalang perhimpunan yang boleh menyebabkan huru-hara di negara ini.

Beliau turut mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan sedangkan bukti dalang di sebalik rancangan perhimpunan itu telah diperoleh.

"Pihak berkuasa perlu segera bertindak demi kemakmuran dan keamanan negara," katanya selepas membuat laporan di IPD Shah Alam di sini.

Antara NGO lain yang turut membuat laporan ialah Kelab Veteran UMNO Shah Alam, Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia, Barisan Kemajuan India Malaysia cawangan Shah Alam dan Persatuan Tabika Kemas Shah Alam.

Di Klang, pihak keselamatan digesa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang telah dikenal pasti sebagai dalang dalam perhimpunan itu.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan itu perlu bagi membendung keadaan yang boleh menyebabkan negara huru-hara.

"Rancangan itu menunjukkan pihak terlibat tidak menghormati asas undang-undang malah membuktikan wujudnya gerakan tertentu mahu menjahanamkan prinsip demokrasi di negara ini," katanya.

Abu Bakar yang juga Pengerusi Perkasa Daerah Klang berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas membuat laporan polis bersama-sama kira-kira 70 ahli pertubuhan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini malam tadi.

Di Johor Bahru, Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Gerakan Belia 4B Tebrau serta Sahabat NGO Belia dan Sosial Tebrau turut membuat laporan polis berhubung Himpunan Guling Kerajaan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini pukul 1 petang ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Jamali Bahrom berkata, laporan itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mengkucar-kacirkan negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment