My Add

Saturday, 28 December 2013

Tuntut Tony Pua mohon maaf

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua terus didesak memohon maaf ekoran sikap biadab beliau menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai anjing pada September lalu.

Timbalan Pengerusi Gerakan Anak Muda Melayu Negeri Selangor (Gam-Sel), M. Ikbal Ramli berkata, setelah hampir tiga bulan berlalu, Tony Pua masih bersikap sombong serta angkuh dan tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Tambah dikesalkan, beliau bukan sahaja tidak dikenakan sebarang tindakan, malah diangkat pula menjadi Pengerusi DAP Selangor yang baharu. Adakah ini budaya DAP, kurang ajar dengan orang Melayu seterusnya akan naik pangkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai bantahan aman kira-kira 20 ahli Gam-Sel selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Jami'ul Huda, Kampung Melayu Ampang, dekat sini hari ini.

Tambah M. Ikbal, para pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang juga sehingga kini tidak memberi sebarang reaksi berhubung sikap biadab Tony Pua meskipun saban minggu rakyat dan pelbagai pihak membangkitkan hal berkenaan.

"Adakah mereka merestui tindakan Tony Pua yang menggelar anjing kepada penjawat awam yang kebanyakannya adalah orang Melayu dan Islam?

"Di manakah para pemimpin Melayu tulen di dalam parti DAP yang boleh membela nasib orang Melayu dalam hal ini? Malah, suara pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang juga tidak kedengaran dan terus membisu,'' katanya.

Lebih mengecewakan jelas beliau, apabila Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, gagal menasihati pemimpin DAP daripada terus menghina orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Sebelum ini Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga telah menghina kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan gelaran kucing kurap. Walaupun telah meminta maaf, namun kami lihat permohonannya itu sebagai tidak ikhlas dan hanya untuk Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Satu demi satu penghinaan dibuat pemimpin DAP, namun para pemimpin pakatan pembangkang terutama Pas seolah-olah tidak berani untuk menegur tingkah laku pemimpin-pemimpin DAP yang memperkotak-katikkan orang Melayu dan Islam," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment