My Add

Sunday 29 December 2013

Segerakan pemilihan DAP Kedah

Oleh SAFINA RAMLI
 
 Lee Guan Aik

ALOR SETAR, SABTU, 28 Disember, 2013: Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik mendesak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP segera mengadakan pemilihan di negeri ini bagi melantik kepemimpinan baharu.

Jawatankuasa itu kata Guan Aik, perlu segera melakukan pembersihan kepemimpinan bagi menyelesaikan konflik yang melanda pentadbiran DAP di Kedah.

"DAP Kedah kini berdepan konflik yang seolah-olah tidak ada kesudahannya kerana kewujudan dua kepemimpinan iaitu jawatankuasa yang disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ditadbir oleh saya dan satu lagi yang membabitkan Jawatankuasa Interim ditubuhkan CEC.

"Kita mahu konflik yang timbul antara kedua-dua jawatankuasa ini segera diselesaikan. Malah, pemilihan ini juga penting untuk membawa suara akar umbi bagi menyingkirkan pemimpin yang bermasalah dalam DAP Kedah,'' katanya di sini.

Menurut Guan Aik, sudah sampai masanya CEC mengadakan pemilihan untuk mewujudkan jawatankuasa pentadbiran parti yang baharu berikutan DAP Kedah kini terbahagi kepada dua pihak dan masing-masing tidak mahu mengalah.

Sementara itu, Guan Aik mencabar Ahli Parlimen Ipoh Timur yang juga Ahli CEC, Thomas Su Keong Siong, supaya membuktikan dakwaan wujud kepincangan dan masalah dalaman kepemimpinan DAP Kedah, sehingga membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Interim.

"Saya percaya kenyataan Thomas Su bersifat pembohongan untuk menutup kelemahan sendiri, pemimpin seperti ini kalau ada dalam parti hanya menjejaskan imej dan nama baik DAP, sekali gus menimbulkan masalah kepada parti," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment