PKR dibidas pertikai kenaikan harga
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Disember, 2013: Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang riuh mempertikaikan kenaikan harga barang tetapi membisu apabila pelbagai cukai di negeri pembangkang dinaikkan, jelas membuktikan parti itu berpura-pura menjadi jaguh rakyat.
Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, sikap itu memecahkan tembelang mereka yang hanya berjuang untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi merampas tampuk pentadbiran Putrajaya.
"Kalau benar PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjuang untuk rakyat dan sangat prihatin dengan kehidupan rakyat seperti didakwa, beliau sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor terlebih dahulu perlu mengkritik dan menghentam kerajaan pakatan pembangkang sendiri.
"Di Selangor dan Pulau Pinang, kenaikan cukai serta yuran yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat bertentangan dengan perjuangan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Lum Yong memberitahu, alasan kenaikan harga itu hanya digunakan PKR untuk mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan dengan mengajak orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka pada malam tahun baharu 2014.
Jelasnya, PKR menggunakan peluang kehadiran orang ramai di situ untuk mengadakan tunjuk perasaan yang dinamakan Himpunan Guling Kerajaan.
"Ini merupakan tunjuk perasaan kali keempat berturut-turut pada malam tahun baharu yang mengeksploitasi kehadiran orang ramai di Dataran Merdeka.
"Sudah pasti kehadiran yang ramai itu akan dipergunakan oleh PKR sebagai bukti kononnya perjuangan mereka disokong, sedangkan majoriti rakyat sudah bosan dengan permainan politik kotor seperti itu," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment