My Add

Saturday 28 December 2013

Tiga anggota kastam didakwa

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

*ANGGOTA polis mengawal ketat tiga anggota kastam yang didakwa mengedar dadah di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Tiga anggota Cawangan Narkotik Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret dekat sini hari ini atas pertuduhan mengedar 1.54 kilogram (kg) dadah disyaki heroin.

Mereka ialah Wee Sew Him, 58, Bahara Mansor, 58, dan Syafizal Mahmud, 36, bertugas di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat KDRM, Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kesemua tertuduh yang memahami pertuduhan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 12.30 malam, pada 15 Disember lalu di cawangan tersebut di Jalan Ciku, Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bahara dan Syafizal diwakili peguam Rosal Azimin Ahmad manakala Sew Him tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli yang mengendalikan pendakwaan, memohon tarikh sebutan baharu ditetapkan sementara menunggu laporan kimia.

Siti Khairiah menetapkan 3 Mac depan bagi tarikh sebutan kes.

Pada 17 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan empat pegawai penguat kuasa antara 11 individu termasuk pegawai penguat kuasa KDRM dan warga asing ditahan dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, mereka disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM14 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, dalam serbuan di sekitar Taman Desa, Jalan Klang Lama, Brickfields dan Jalan Pudu di sini serta Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan, polis menahan empat lelaki warga Nigeria, seorang lelaki warga India dan enam lelaki tempatan berumur antara 22 dan 58 tahun.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 68.68kg, heroin 9.7kg, kafein 25.3kg, sepucuk pistol jenis CZ bersama magazin serta 30 butir peluru, wang tunai RM34,950 dan menyita dua buah kenderaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment