My Add

Saturday 28 December 2013

Lelaki hasut orang ramai lakukan rusuhan diberkas di Sarawak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Disember, 2013: Pemilik akaun laman Facebook, Asmaelz Hadzeny II yang menghasut orang ramai untuk melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan serta meminta mereka mendapatkan bom untuk tujuan itu pada 31 Disember ini diberkas polis hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas di Kampung Karambut, Saratok, Sarawak, pada pukul 11 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki itu akan dibawa ke Bukit Aman esok untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal, polis percaya dia merupakan orang Sarawak dan kita tahan dia untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, pemilik laman sosial itu dikesan menulis kenyataan menghasut orang ramai untuk melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan pada 31 Disember nanti.

Dia yang mendakwa berperanan sebagai cyber trooper Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekerja sebagai koordinator di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di dalam laman Facebook miliknya turut meminta orang ramai mendapatkan bom bagi tujuan tersebut.

Kenyataan berbaur ancaman dan hasutan itu dipercayai dimuat naik di laman Facebook miliknya beberapa hari lalu.

Berikutan kenyataan yang ditulis itu, lelaki yang mendakwa berasal dari Kuching, Sarawak dan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan, diburu polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman 15 tahun penjara malah boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment