My Add

Saturday, 28 December 2013

Tiga gudang pakaian berusia 80 tahun terbakar

GERIK, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Tiga gudang menjual pakaian termasuk uniform sekolah musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM800,000 di Jalan Tun Saban dekat sini, kelmarin.

Dalam kebakaran pada pukul 4.20 petang itu, gudang yang terletak dalam premis dua tingkat yang dibina separuh batu dan kayu sejak tahun 1930-an itu musnah terbakar dalam tempoh setengah jam.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan kira-kira 20 premis perniagaan lain termasuk kediaman penduduk berhampiran daripada turut musnah.

Penolong Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mior Muhammad Mior Tahir berkata, ketika kejadian 12 jurujual wanita dan puluhan pelanggan termasuk kanak-kanak sedang memilih pakaian dalam premis tersebut.

Menurutnya, kesemua mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari premis berkenaan.

‘‘Seramai 22 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong dikejarkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.25 petang," katanya.

Tambah Mior Muhammad, dalam usaha memadamkan api, beberapa anggotanya terpaksa memanjat bangunan tiga tingkat di sebelah kanan premis berkenaan dan memecahkan cermin tingkap bangunan tersebut untuk memadam api.

‘‘Beberapa kali anggota kami terpaksa turun kerana api terlalu marak sebelum naik semula bagi memadamkan api yang semakin besar.

‘‘Bagaimanapun, kecekapan anggota bomba dan maklumat awal yang diterima daripada orang awam menyebabkan kita berjaya menyelamatkan puluhan premis lain yang bernilai kira-kira RM5 juta," ujarnya.

Katanya lagi, siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment