Gerakan jangan terikut-ikut rentak pembangkang
SHAH ALAM, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Parti Gerakan diingatkan supaya tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang kononnya tindakan kerajaan menyalurkan dana kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya akan memberikan imej yang buruk kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, parti komponen BN itu seharusnya memahami bahawa Perkasa bukan sebuah pertubuhan 'rasis' atau 'pengacau' apatah lagi menafikan hak-hak atau kepentingan kaum lain di negara ini.
Sebaliknya asas perjuangan Perkasa adalah memperjuang serta membela kepentingan Islam dan orang Melayu di negara ini berasaskan kepada peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sekiranya benar kerajaan menyumbangkan dana untuk aktiviti Perkasa, apa masalahnya? Walhal kerajaan juga turut menyalurkan dana atau bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di negara ini termasuk yang mewakili masyarakat bukan Melayu yang saya difahamkan termasuk Dong Zong.
"Gerakan yang merupakan antara salah satu parti komponen dalam BN sepatutnya tidak perlu terperangkap dengan permainan pakatan pembangkang yang selama ini berusaha menjadikan Perkasa sebagai 'kambing hitam' untuk mendapat undi bukan Melayu dengan mengaitkan pertubuhan ini sebagai perkauman dan sebagainya," katanya.
Abu Bakar mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang yang disiarkan dalam portal propembangkang, Malaysiakini hari ini kononnya kerajaan pimpinan BN hanya melemahkan dirinya sendiri apabila bertindak menyalurkan dana kepada Perkasa.
Memetik laporan tersebut Keng Liang menyifatkan tindakan BN itu sebagai 'membunuh diri' kononnya aktiviti Perkasa tidak membantu kerajaan selain mahu perkara itu dikaji semula sekiranya benar.
Dalam pada itu, Abu Bakar mahu Ketua Pemuda Gerakan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Keng Liang perlu cermin diri dahulu bagaimana dengan kedudukan mereka pada pilihan raya umum lalu terutamanya peranan parti itu untuk menarik sokongan bukan Melayu di kawasan bandar dan luar bandar,'' tegas beliau. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment