My Add

Friday 27 December 2013

UMNO Temerloh, 15 NGO bantah perhimpunan haram
 *MOHD. Sabri Aziz (dua dari kanan) mengetuai demonstrasi secara aman sebagai membantah usaha pihak tertentu mengadakan perhimpunan haram menggulingkan kerajaan di Temerloh, Pahang, semalam.
TEMERLOH, KHAMIS, 26 Disember, 2013: UMNO Bahagian Temerloh dengan gabungan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah usaha pihak tertentu yang mahu mengadakan perhimpunan haram menggulingkan kerajaan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.

Bantahan itu sebagai menyatakan kebimbangan badan gabungan tersebut terhadap gerakan di luar konteks budaya Malaysia yang mahu menggulingkan kerajaan pilihan rakyat.

Selain ahli UMNO Bahagian Temerloh termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri serta parti Gerakan, bantahan aman lebih 100 orang itu antaranya disertai oleh Kelab Warisan Inderapura, Persatuan Ketua Kampung Mukim Semantan, Persatuan Belia Aktif Bolok dan Persatuan Belia Sungai Kepong.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Nor Azmi Mat Ludin berkata, laporan polis turut dibuat di Balai Polis Lanchang bagi membolehkan pihak berkuasa keselamatan menjalankan penyiasatan segera ke atas penganjur yang terlibat.

Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab bercadang mengadakan perhimpunan haram tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan dan ketenteraman.

"Kami memandang serius usaha yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu dan menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan kerana boleh menimbulkan kacau-bilau dan mengugat keselamatan negara.

"Kami mengutuk tindakan mengheret rakyat khususnya golongan muda untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui demokrasi tulen negara ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Daerah Temerloh, Juhanis Abdul Aziz berkata, tindakan tegas termasuk melucutkan kerakyatan wajar diambil ke atas penganjur termasuk penulis blog dan pemilik laman sosial yang mengajak rakyat menyertai perhimpunan haram tersebut.

Kata beliau, tindakan tegas mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 wajar dikenakan dan berharap rakyat tidak akan menyertai perhimpunan tersebut yang dilihat tidak akan memberi apa-apa manfaat melainkan hanya mendatangkan kesusahan dan huru-hara.

Dalam masa sama, Pengerusi Majlis Belia Daerah Temerloh, Mohd. Nazri Hashim menggesa Kementerian Dalam Negeri menggunakan undang-undang yang ada untuk membanteras gejala negatif itu sehingga ke akar umbi.

Beliau turut meminta pihak pembangkang supaya rasional dalam setiap tindakan dengan mengutamakan kepentingan nasional.

Sementara itu, seorang aktivis belia, Mohd. Sabri Aziz menyifatkan tindakan penganjur itu sebagai menjayakan budaya samseng untuk mencapai matlamat songsang yang dikutuk masyarakat.

Tegasnya, majoriti rakyat menolak budaya buruk seperti itu dan mana-mana individu terbabit khususnya penganjur wajar dikenakan tindakan tegas demi kepentingan rakyat dan negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment