My Add

Saturday 28 December 2013

Lagi usaha lumpuhkan Ikhwan

 *GAMBAR fail bertarikh 22 Julai lalu, menunjukkan sekumpulan penunjuk perasaan prokerajaan sementara dan tentera, mengejar dan memukul seorang pengikut Ikhwanul Muslimin dalam satu pertempuran di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir. - AFP
KAHERAH, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Sekurang-kurangnya tiga penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi maut dalam pertempuran dengan pihak berkuasa di beberapa lokasi berasingan di negara ini hari ini, lapor al-Jazeera.

Menurut al-Jazeera yang memetik sumber, seorang pemuda berusia 20 tahun mati ditembak di Damietta, sementara seorang lagi maut di Minya apabila tin gas pemedih mata yang dilempar polis, terkena bahagian mukanya sementara seorang lagi terkorban dalam rusuhan di bandar ini.

Kementerian Dalam Negeri Mesir mendakwa, sebanyak dua buah kereta polis dibakar penunjuk perasaan, ketika pasukan keselamatan cuba menyuraikan beberapa perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat di seluruh negara.

Kira-kira 265 penunjuk perasaan turut ditahan, selepas pihak berkuasa Mesir menahan kira-kira 23 pengikut Ikhwanul Muslimin, sehari selepas pergerakan tersebut disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan sementara negara ini.

Agensi berita tempatan MENA melaporkan, semua individu yang ditahan, dituduh mengedarkan risalah untuk menyokong Ikhwanul Muslimin, menyebarkan ideologi pergerakan itu dan menghasut orang ramai melakukan keganasan terhadap pasukan keselamatan Mesir.

Responden al-Jazeera di Mesir, Peter Greste melaporkan, sesiapa yang disabitkan kesalahan menjadi orang kanan Ikhwanul Muslimin, membiayai atau menyediakan maklumat kepada kumpulan tersebut, boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Tindakan kerajaan sementara menyenarai Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas juga benar-benar memberi kesan terutamanya kepada persatuan-persatuan amal yang disokong pergerakan Islam itu yang beroperasi di seluruh kawasan miskin di Mesir. - AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment