Pembangkang mahu guling kerajaan?
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Disember, 2023: Penafian berterusan pembangkang kononnya demonstrasi pada malam tahun baharu 2014 bukan bertujuan menggulingkan kerajaan tidak ubah seperti cubaan 'menutup bangkai gajah dengan nyiru'.
Ini kerana pelbagai bukti yang tersebar jelas menunjukkan perhimpunan tersebut bermotif menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi dengan cara huru-hara jalanan.
Terbaru, bukti pautan laman Twitter bertajuk '#GulingKerajaan' dan '#TumbangBN' yang menjadi medan komunikasi penyokong pembangkang bagi membangkitkan sentimen kebencian rakyat berjaya dibongkar.
Pautan yang menyeru orang ramai menggulingkan kerajaan itu didedahkan kumpulan Anti Semua Salah UMNO menerusi laman sosial Facebook yang menyaksikan kali terakhir komunikasi antara penyokong pembangkang berlaku pada Selasa lalu.
"Kantoi sudah, rupanya penipuan pembangkang mengatakan tidak pernah sebut tentang Perhimpunan Guling Kerajaan tapi penipuan mereka jelas," kata kumpulan Anti Semua Salah UMNO sebagaimana dipetik hari ini.
Sehingga semalam, beberapa pemimpin pembangkang antaranya, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan demonstrasi itu mahu menggulingkan kerajaan.
Walaupun pelbagai bukti jelas menunjukkan niat sebenar mahu mencetuskan huru-hara, Mohamad dan Rafizi mendakwa pembangkang menghormati sistem demokrasi tetapi demonstrasi tersebut adalah wajar dilakukan.
Mereka juga menafikan pembangkang merupakan dalang kepada Himpunan Guling Kerajaan itu namun Rafizi sendiri memberi bayangan akan turut serta berdemonstrasi jika mempunyai 'kelapangan' pada malam tahun baharu 2014. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment