My Add

Saturday 28 December 2013

Himpunan bercanggah dengan Perlembagaan Pas


 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Disember, 2013: Tindakan Dewan Pemuda Pas untuk menyertai perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup yang berlangsung serentak dengan Himpunan Guling Kerajaan pada malam tahun baharu 2014 jelas bertentangan dengan Perlembagaan parti.

Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha (gambar) berkata, di dalam perlembagaan parti itu, Fasal 6 (6) dengan jelas menyatakan bahawa Pas hanya akan bekerjasama dengan badan, pertubuhan atau persatuan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pendirian Pemuda Pas kerana Himpunan Guling Kerajaan merupakan satu usaha untuk mencetuskan suasana kacau bilau dan huru hara.

"Mereka mahu mengambil kesempatan atas kehadiran rakyat Malaysia yang mahu menyambut ambang tahun baharu 2014," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat mengesahkan kehadiran Pemuda Pas di Dataran Merdeka untuk menyokong perhimpunan membantah kenaikan kos hidup pada malam tahun baru 2014 namun berdalih pihaknya tiada kaitan dengan perhimpunan bagi menggulingkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, kenyataan Suhaizat itu menimbulkan tanda tanya kerana lokasi, masa dan tarikh perhimpunan membantah kenaikan kos hidup adalah sama dengan Himpunan Guling Kerajaan.

Norman berkata, adalah mustahil Pemuda Pas tidak mengetahui tentang Himpunan Gulingkan Kerajaan yang bakal berlangsung di lokasi sama pada malam tahun baharu 2014.

"Persoalannya, mengapa Pemuda Pas tetap mahu meneruskan penyertaan dalam himpunan membantah kenaikan kos hidup dan apakah tujuan sebenar Pemuda Pas ini?

"Jika niat mereka mahu menunjukkan dan mengajak rakyat memprotes tentang kesan bebanan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, mengapa mereka perlu turun pada malam itu juga," katanya lagi.

Dalam pada itu, Norman berkata, tindakan Pas sebagai sebuah wadah yang berorientasikan dakwah dan politik sepatutnya mempunyai matlamat yang jelas terutama dalam konteks mendidik rakyat dan membangunkan negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment