My Add

Monday 26 May 2014

Kedutaan desak isu pelajar Malaysia dirompak diselesai segera
\
JAKARTA, ISNIN 26 Mei, 2014: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mendesak agar siasatan terhadap kes seorang pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) di Jatinangor, Bandung yang disyaki diculik, dirompak dan cuba dibunuh pada 16 Mei lepas, diselesaikan segera.
Duta Besar Malaysia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, siasatan itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak pihak tertentu membuat andaian atau spekulasi terhadap kes berkenaan.

"Kami sudah berbincang dengan pihak Unpad dan polis Indonesia untuk mendapat kepastian dan mereka memberi jaminan untuk menjalankan siasatan dari setiap sudut.

"Insiden ini tidak sepatutnya berlaku. Perlu tindakan tegas supaya ia tidak berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Unpad dan wakil Interpol Indonesia, di pejabat kedutaan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun dan merupakan pelajar perubatan, dikatakan dipanggil seorang lelaki yang menunggu di belakangnya sejurus mengeluarkan sejumlah wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan kampusnya.

Lelaki itu kemudian menekup mulut mangsa, lalu menarik ke dalam kereta.

Mangsa ditemui kira-kira 3 pagi pada keesokannya dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di tempat letak kereta di Lembang, kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia diculik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment