My Add

Wednesday 28 May 2014

Perlu gembleng usaha baiki kelemahan

 
KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu menuntut 'pemain' sektor penerbangan komersial serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menggembleng usaha memperbaiki kelemahan terhadap sis­tem teknologi sedia ada, khususnya pemantauan masa nyata penerbangan termasuk kotak hitam bagi mengelak insiden sama ber­ulang pada masa depan.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi; Pengarah Biro Standard Telekomunikasi Kesatuan Tele­ko­munikasi Antarabangsa (ITU), Malcolm Johnson dan Pengarah Biro Navigasi Udara, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Nancy Graham dalam sidang akhbar bersama selepas berakhir Dialog Pakar Berkaitan Pemantauan Masa Nyata Penerbangan, Termasuk Kotak Hitam di sini hari ini.

Malah, dialog selama dua hari itu juga menyaksikan sektor penerbangan dan ICT bersetuju membangunkan satu pelan hala tuju bagi pelaksanaan pemantauan masa nyata penerbangan global dan menjangkakan rangka kerja pelan itu dihasilkan awal tahun depan.

Selain itu, dialog tersebut juga mengusulkan tindakan-tindakan jangka panjang yang perlu dilakukan oleh ICAO dan ITU dalam menangani kelemahan terbabit iaitu:

*ICAO membangunkan dan mengesahkan keperluan operasi untuk pemantauan masa nyata data penerbangan dan mengenal pasti keperluan minimum;

*ICAO mengenal pasti konsep operasi termasuk keperluan komunikasi, dan bekerjasama dengan ITU bagi menentukan standard te­le­komunikasi yang perlu termasuk keperluan spektrum;

*ICAO dan ITU bekerjasama dengan industri bagi menganggarkan implikasi kos yang berkaitan dan membangunkan model perniagaan yang sesuai dalam memastikan keberkesanan;

*ICAO dan ITU mengenal pasti keperluan sesuatu piawaian, dasar dan peraturan untuk dimajukan, termasuk mengkaji keperluan tentang perlindungan data penerbangan, keselamatan maklumat, privasi, kesesuaian menggunakan data penerbangan dan pemilikan data untuk pemantauan masa nyata data penerbangan;

*Mewujudkan pelan hala tuju yang membawa kepada penambahbaikan sistem ICT dan penerbangan.

Menurut Graham, ICAO akan be­kerjasama dengan ITU untuk menggabungkan penyelesaian pengkomputeran dan data bagi memantau setiap pergerakan pesawat komersial, ketika berlepas dan mendarat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment