My Add

Wednesday 28 May 2014

DCA sedia e-mel pertanyaan data satelit

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menyediakan alamat e-mel khas untuk memudahkan ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 menghantar sebarang persoalan tentang data satelit mentah Inmarsat setebal 47 muka surat yang didedahkan kepada umum hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, susulan itu, DCA juga akan mendapatkan pakar-pakar untuk menerangkan sebarang persoalan teknikal yang diemelkan menerusi mh370@dca.gov.my.

"Persoalan mengenai data tentang penerbangan MH370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac lalu diajukan oleh ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 serta orang ramai. Kita berbincang dengan Inmarsat dan mereka setuju untuk mengumpulkan data itu dan didedahkan kepada umum.

"Saya sendiri tidak berapa faham, jadi kita memerlukan pakar untuk menerangkannya secara mendalam,'' katanya ketika ditemui pemberita semasa Dialog Pakar Berkaitan Pemantauan Masa Nyata Penerbangan Termasuk Kotak Hitam di sini hari ini.

DCA hari ini mengeluarkan data satelit berkenaan yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat MH370 yang hilang ketika penerbangan ke Beijing, 8 Mac lalu.

Menurut kenyataan DCA, log data komunikasi daripada Inmarsat itu dan keterangan mengenainya dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan.

Log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat bagi MH370 disediakan Inmarsat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment