My Add

Monday 26 May 2014

Terima bantuan JKM RM450 sebulan
KUALA LUMPUR, AHAS 25 Mei, 2014: Lima beradik yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kejadian kemalangan di Jalan Loke Yew dekat sini kelmarin akan menerima bantuan sebanyak RM450 sebulan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sumbangan itu akan diberikan kepada lima beradik berkenaan dalam tempoh terdekat ini selepas laporan berkaitan mereka siap diproses.

Katanya, bantuan tersebut dibe­rikan bagi meringankan beban yang ditanggung ahli keluarga mereka yang akan menjaga lima beradik berkenaan.

"Bantuan ini adalah bantuan biasa yang JKM akan beri kepada golongan seperti ini di mana mereka akan menerimanya sehingga berusia 18 tahun.

"Kementerian juga akan melihat bentuk-bentuk bantuan lain termasuklah bantuan kaunseling bagi membantu mereka mengurangkan rasa trauma dan sedih atas kehilangan ibu bapa mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Purple Walk sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2014 di Dataran Merdeka, dekat sini hari ini.

Jumaat lalu, lima beradik berusia tiga hingga 16 tahun berkenaan kehilangan ibu bapa selepas mereka terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew dekat sini.

Dalam kejadian itu, motosikal yang dinaiki mangsa, Jefri Mohd. Zain, 46, dan isterinya, Noorsalawati Ibrahim, 40, dipercayai hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh ke atas jalan raya sebelum digilis lori membawa muatan pasir mengakibatkan mereka maut serta-merta di tempat kejadian.

Sementara itu, nasib malang lima beradik itu turut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Perak.

Ketuanya, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, pihaknya akan melancarkan tabung khas bagi mengutip derma untuk disalurkan kepada kanak-kanak malang berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment