My Add

Sunday 27 May 2012

10,000 dijangka berhimpun sambut Hari Seniman Selasa ini

*DR, Rais Yatim dan Masnah Rais bersama artis veteran pada perjumpaan meraikan seniman dan seniwati veteran Melayu di Singapura, semalam. - BERNAMA

SINGAPURA, SABTU, 26 Mei, 2012: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menghimpunkan 10,000 pengamal pelbagai cabang seni di Malaysia pada sambutan Hari Seniman Negara di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur Selasa ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian Datuk Ab. Ghaffar A.Tambi berkata, perhimpunan kali ini buat julung kalinya akan turut disertai pengamal seni mempertahan diri.

"Pada tahun ini terdapat kelainan dalam sambutan Hari Seniman Negara dengan pengamal seni mempertahankan diri yang merupakan sebahagian daripada cabang seni akan turut bersama berhimpun dengan kita," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas majlis meraikan seniman dan seniwati veteran Melayu di sini yang turut dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri Datin Masnah Rais. Rais berada di Singapura bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) yang berakhir semalam.

Ab. Ghaffar berkata, kira-kira 3,000 anggota seni mempertahan diri daripada pelbagai persatuan akan menyertai perhimpunan Hari Seniman Negara itu, menjanjikan suatu kelainan pada sambutan tahun ini.

Antara seniman dan seniwati veteran Melayu Singapura yang hadir pada majlis itu ialah Zaiton, S.Samsuddin, Wahid Satay, Momo Latif, Neng Yatimah, Kassim Masdor, Yusnor Ef, Sari Dewi, K.Fatimah, Nona Asiah dan S.Rosley.

Turut bersama pada majlis itu ialah beberapa seniman dan seniwati veteran Malaysia seperti Datuk Mustapa Maarof, Mariani Ismail dan Kuswadinata.

Rais turut menyampaikan sumbangan kepada seniman dan seniwati veteran yang menghadiri majlis itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment