My Add

Saturday 26 May 2012

324 pelajar terima biasiswa PETRONAS, Yayasan UTP

BANDAR SERI ISKANDAR, SABTU, 26 Mei, 2012: PETRONAS menerima 8,205 permohonan biayaan biasiswa di mana seramai 324 pelajar menerima biasiswa daripada PETRONAS dan Yayasan UTP tahun ini untuk meneruskan pengajian asasi dan peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara. 

Daripada 324 penerima tersebut, 316 dianugerahkan biasiswa di bawah Program Penajaan Pelajaran PETRONAS (PESP), sementara lapan orang lagi menerima biasiswa Yayasan UTP.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 112 pelajar ditawarkan program pengajian luar negara, manakala 204 lagi akan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Bandar Seri Iskandar, Perak.

Penganugerahan biasiswa kepada 324 pelajar tersebut disempurnakan Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Juniwati Rahmat Hussin dalam satu majlis khas di UTP. 

Juniwati berkata, PETRONAS sentiasa menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan untuk pemerolehan ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. 

“Penubuhan UTP pada tahun 1997 itu sendiri membuktikan komitmen kami dalam pembangunan sektor pendidikan di Malaysia,” katanya ketika berucap di sini, hari ini. 

Penerima biasiswa dipilih melalui proses pemilihan yang ketat ketika PETRONAS EduQuest Camp yang diadakan di tiga lokasi berasingan, iaitu di Bandar Seri Iskandar, Kuching dan Kota Kinabalu dari 15 hingga 20 April 2012. 

Selain daripada berdasarkan merit, syarat ketat pemberian biasiswa PETRONAS juga mengambil kira tahap kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum calon, prestasi semasa temuduga pra-kelayakan dan penilaian bertulis serta latar belakang sosio-ekonomi keluarga mereka. 

PESP adalah program penajaan yang menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar yang layak untuk membantu merealisasikan potensi akademik dan menyediakan mereka untuk memenuhi keperluan sumber manusia dan pertumbuhan urus niaga PETRONAS. 

Sejak dimulakan pada 1975, PESP memberi manfaat kepada kira-kira 20,307 penerima biasiswa. 

Sehingga kini, PETRONAS membelanjakan lebih RM2.6 bilion untuk menaja pelajar melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara. 

Yayasan UTP ditubuhkan pada 2007 untuk menyokong perkembangan UTP sebagai sebuah institusi akademik yang cemerlang. Penerima biasiswa Yayasan UTP tidak terikat selepas menamatkan pengajian mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment