PETALING JAYA, ISNIN, 28 Mei, 2012: Sebanyak 90 peratus kos pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebenarnya ditanggung kerajaan, maka itu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap hanya untuk tanggung kos sara hidup pelajar.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, PTPTN hanya menanggung baki kos pengajian yang kecil, kira-kira 10 peratus daripada kos keseluruhan pengajian di IPTA.
"Tidak seperti negara-negara lain, kerajaan (Malaysia) bagi pinjaman kepada mahasiswa untuk menanggung kos sara hidup, setakat ini tidak ada mana-mana negara yang memberi pinjaman sara hidup kepada mahasiswa dengan jumlah yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pembangunan Pusat Kecemerlangan Industri Pemborongan dan Peruncitan (ICoE) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemansuhan satu peratus ujrah pinjaman PTPTN yang diutarakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dalam sesi pendebatan dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai "Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi" yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dan Bernama Radio24 , Selasa lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment