My Add

Sunday 27 May 2012

Belia janji jadi lebih baik demi masa depan

PUTRAJAYA, AHAD, 27 Mei, 2012: Rata-rata belia yang hadir pada Himpunan Jutaan Belia di sini menyatakan kesediaan menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa belia hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Sambil menyatakan belia hari ini lebih matang dalam menentukan masa depan negara, Zainaruzin Dahman, 29, dari pergerakan Belia 4B Perlis berkata untuk itu, golongan pewaris kepimpinan negara itu pasti akan mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara dalam apa jua keadaan. Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di lokasi perhimpunan, Zainaruzin berkata sebagai pemangkin kepada kerajaan sedia ada mereka akan menyahut dan melaksanakan apa sahaja perancangan yang direncana kerajaan.

"Belia adalah penentu kerajaan yang ada sekarang ini jadi apa jua kerajaan buat, pasti akan disahut oleh kami,” katanya.

Mohd Aidil Othman, pula berkata, sebagai golongan yang matang, belia akan menyahut setiap seruan kerajaan untuk sentiasa ke hadapan merebut peluang dan membantu untuk sama-sama menjayakan agenda negara.

"Kerajaan minta belia ke hadapan, rebut peluang, jadi mata dan kepala kerajaan, kalau belia tidak bantu, maka masa depan belia dan kerajaan sekarang tidak akan secerah sekarang,” katanya, yang juga Pengerusi Persatuan Belia Batu Anam, Johor.

Sementara itu, Nor Asmawati Abdul Rahman, 25, pula berkata beliau amat berpuas hati dengan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib yang berjaya meneruskan kecemerlangan kepimpinan terdahulu dengan harapan keadaan itu dapat dikekalkan untuk kesinambungan generasi mendatang.

Sambil menegaskan yang belia akan sentiasa berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri kerana yakin golongan itu akan terus mendapat manfaat, wakil dari Majlis Belia Pulau Pinang itu turut menyeru para belia yang belum berdaftar sebagai pengundi supaya berbuat demikian sebagai bukti sayangkan negara.

Katanya langkah kerajaan menganjurkan Himpunan Jutaan Belia banyak membantu golongan tersebut memperoleh pelbagai maklumat bermanfaat, yang mana program yang dihadiri belia pelbagai kaum itu turut berlangsung dalam suasana santai dan harmoni.

No comments:

Post a Comment